Tuesday, September 18, 2012

Selepas UPSR...


 Salah satu aktiviti lepas UPSR yang bermakna

Yeahhh... UPSR telah selamat sempurna dilalui oleh anak-anak Tahun 6. Guru-guru Tahun 6 boleh menarik nafas walaupun tidak lega sepenuhnya. Kebimbangan terhadap keputusan mata pelajaran diajar akan sentiasa menghantui selagi keputusan belum keluar. Begitulah perasaan hati seorang guru yang sebenar walaupun di luar orang nampak kita bergembira dan tiada apa-apa. Ibubapa juga mungkin lega setelah berbulan-bulan menghantar anak ke kelas tambahan atau tuisyen. Inilah masa untuk rilek sedikit. Namun hati mereka juga dijentik bimbang bila melihat anak-anak mula menjauhkan diri dari buku..


Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian banyak program-program lepas UPSR dilaksanakan sekolah untuk mengisi masa dan luang khususnya kepada murid-murid Tahun 6 secara lebih bermanafaat dan efektif. Namun tidak kurang program-program itu cantik dan sempurna hanya di atas kertas sahaja. Pengurusan pelaksanaan program lepas UPSR kadangnya tidak dilaksana dengan mantap dan bersungguh-sungguh. Kita menaruh kebimbangan bahawa pelajar akan membina tanggapan salah  selepas peperiksaan adalah masa rilek, santai dan berseronok sakan. Masa untuk melupakan buka dan ilmu. Trend ini kita lihat kian melanda masyarakat kita bila mana ada anak selepas UPSR dan PMR sudah tidak hadir lagi ke sekolah. Mereka bercuti awal sebelum masa cuti.

Membiasa dan membudayakan benda yang salah sebagai betul adalah satu kesilapan. Kita pasti ada kalangan ibubapa berkata, "biasala budak la ni, lepas periksa malas pergi sekolah". Pemikiran membiasakan perkara salah sebagai rutin adalah kesilapan amat besar dan merbahaya. Serupalah juga kita telah membiasakan pergaulan bebas kalangan anak muda kita " Biasalah orang muda, naik motor bercouple" dan sebagainya. Justru kerana terbiasanya fenomena berkenaan seakan yang salah menjadi betul dan yang haram menjadi halal.

Kita berharap momentum mencintai ilmu dan budaya kecemerlangan tidak akan terputus dengan hanya berakhirnya satu peperiksaan yang kecil. Malah kita perlu menyubur dan memugarnya dengan pendekatan yang mungkin lebih berbeza sedikit. Pengajaran dan pembelajaran dengan menggalakkan kemahiran berfikir melalui aktiviti kumpulan. Memupuk kemahiran dan keyakinan komunikasi melalui aktiviti pembentangan, bahasa, syarahan dan sebagainya. Aktiviti perkembangan sahsiah serta pemupukan kerjaya seperti lawatan ke sekolah SBP, SBT, SKK dan IPT patut digalakkan sebagai sebahagian dari program teras selepas UPSR. Begitu juga program bersifat "pengalamian sebenar pembelajaran " atau "experiencing learning" wajar sekali didedahkan kepada mereka kerana melalui kaedah ini bukan sahaja mereka terlibat secara langsung tetapi memahami makna hasil pembelajaran sebenar.

Seribu satu macam aktiviti lepas UPSR yang bermanafaat dapat dilaksanakanakan sama ada yang biasa ataupun berorientasikan ICT. Apa yang penting yang mahu kita tanam dalam minda dan jiwa anak-anak bahawa pembelajaran ini tidak pernah tamat walaupun sampai bila-bila sehinggalah sampai ke liang lahad.
Peperiksaan adalah sebahagian proses memantapkan pembelajaran bukannya berakhir sesuatu peperiksaan maka tamatlah dunia pembelajaran .



No comments:

Post a Comment