Friday, September 28, 2012

Perasmian Nadwah Kepemimpinan Islam SABK Kebangsaan

KUALA TERENGGANU - Bermula 27 hingga 30 September 2012, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama JPN Terengganu mengadakan Nadwah Kepemimpinan Islam SABK Kebangsaan Kali Ke 2. Nadwah ini berlangsung di Imtiaz, Kuala Terengganu, Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Majlis perasmian telah diadakan pada malam semalam. Yang Berbahagia En. Hashim Mohd Zin, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu mewakili YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu telah menyempurnakan perasmian tersebut. YAB Menteri Besar Terengganu dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah menyatakan bahawa sejarah kehidupan Rasullallah sejak dari kecil hingga dewasa adalah sebaik model kepimpinan yang Allah tunjukkan kepada kita. Tegas beliau, Rasullallah melalui latihan kehidupan itu menjadi manusia yang amat terbangun minda, jiwa, fizikal dan spritualnya sehingga mampu menyerlahkan kejujuran dan keikhlasan dalam kehidupan lantas dipanggil "Al-Amin" setelah berjaya menyelesaikan pertikaian masyarakat Arab jahiliyah.

Sebelum itu Yang Berbahagia Tuan Haji Wahid bin Setia, Timbalan Pengarah Bahagian yang menjaga instusi pendidikan agama atau SABK menyatakan rasa kagum dan bangga dengan pencapaian 4 buah Imtiaz dan SM Agama Atas Zainal Abidin sebagai sekolah berada dalam ranking kelima terbaik kebangsaan. Tegas beliau ini merupakan satu cabaran kepada SMKA yang ada. Beliu juga memaklumkan BPI menyediakan kurikulum kebangsaan yang seimbang untuk SABK agar lepasan pelajar boleh memilih pelbagai jurusan bukan hanya bidang keagamaan semata-mata.

Majlis perasmian ini turut dihadir Ketua-Ketua Sektor Pendidikan Islam seluruh negara, Ketua-Ketua Sektor, PPD, Pegawai JPN Terengganu, pengetua dan juga Guru Besar negeri Terengganu. Majlis perasmian ini juga diserikan dengan persembahan nasyid daripada SMA Marang, Terengganu.

Kita berharap melalui Nadwah Kepemimpinan Islam yang bertemakan "Aqidah Kukuh Kepimpinan Teguh" semua peserta dapat menghayatinya dan mempraktik amalan kepimpinan Islam dalam realiti kehidupan yang sebenar yang penuh cabaran dan dugaan.



No comments:

Post a Comment