Monday, September 3, 2012

Pemantauan Pencalonan SKM Cemerlang Negeri Terengganu

DUNGUN - Anugerah Pengurusan Sekolah Kekurangan Murid (SKM) Cemerlang Negeri Terengganu telah diperkenalkan beberapa tahun lalu sebagai pengiktirafan terhadap prestasi keseluruhan SKM yang mencapai tahap membanggakan daripada 41 buah SKM seluruh negeri. Antara sekolah yang pernah menduduki Anugerah Pengurusan SKM Cemerlang ialah SK Kampung Wa, Dungun, SK Jenang, Marang dan SK Dusun, Hulu Terengganu.

Beberapa buah SKM telah tercalon sebagai SKK dan SBT. Bahkan SK Dusun, Hulu Terengganu adalah satu-satunya SKM bertaraf Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK). Sumbangan SKM terhadap peratus 5A dan GPS negeri dalam UPSR tidak dapat dinafikan. SK Dusun, Hulu Terengganu dan SK Tepus, Dungun antara sekolah berada ranking sepuluh terbaik negara dalam UPSR 2011.

Pagi tadi Ketua Unit Sekolah Rendah dan Penyelia Kanan Projek Khas/ Asli/Kluster sempat membuat pemantauan dan verifikasi terhadap salah sebuah calon Anugerah Pengurusan SKM Negeri 2012. Sekolah berkenaan ialah SK Tepus, Dungun. Sekolah ini berada di kawasan pedalaman Dungun dan guru-guru menerima elaun pedalaman 10%. Sekolah ini antara SKM yang dicalonkan sebagai SKK selain SK Mangkok, Setiu. SK Tepus ini menduduki ranking kelima UPSR 2011 kebangsaan dan mencapai 100% kelulusan semua subjek dengan GPS 1.38.


SK Tepus, Dungun juga telah menerima Anugerah Tawaran Baru Guru Besar 2011 dan menerima pelbagai anugerah pada 2012. Bidang kebitaraan utama ialah Matematik dan Kelab Ushawan Tani. Kelab Ushawan Tani melaksanakan projek fertigasi, kelapa sawit, dusun buahan dan jualan pokok hiasan dalam kawasan sekolah yang berkeluasan sebanyak 5 ekar.

Menurut En. Azmi A.Bakar, Guru Besar SK Tepus dalam taklimatnya memberitahu mereka banyak mendapat rakan-rakan strategik terutama dalam bidang pertanian bagi menjayakan program Kelab Ushawan Tani dan berharap pada masa depan lokasi projek fertigasi, kelapa sawit dan dusun buah bukan sahaja menjadi pusat pengalamian pembelajaran tapi juga memberi pulangan kewangan untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan SK Tepus.

Kita ucapkan tahniah kepada Guru Besar, para guru dan murid-murid SK Tepus kerana berjaya mengamalkan model kepimpinan dan kepengikutan yang baik dengan penghayatan tinggi kepada nilai-nilai
kesepakatan, kerjasama, kesatuan dan kecintaan kepada kecemerlangan dan keterbilangan. Kita menyeru kepada sekolah-sekolah yang berminat melaksanakan program fertigasi dan pokok hiasan SK Tepus adalah tempat rujukan terbaik. Tahniah.


No comments:

Post a Comment