Aduan mempersoalkan integriti guru yang melaksanakan kerja luar bukan sahaja datang dari masyarakat, rakan sejawat bahkan daripada pimpinan pendidikan. Satu ketika seorang Ketua Sektor mempersoalkan seorang guru yang jarang berada di sekolah kerana terlibat dengan kerja dan kegiatan luar. Bila isu sedemikian timbul bagaimana seorang Guru Besar selaku ketua boleh melulus atau membenarkan guru mereka sewenang-wenangnya melakukan kerja luar apa lagi dalam waktu pengajaran-pembelajaran dan pekerjaan atau kegiatan yang dilakukan tiada kaitan langsung dengan pendidikan.
Kita juga dapati bahawa terdapat agensi-agensi tertentu menggunakan kepakaran guru-guru kita tidak mengikut prosidur yang betul. Ada yang menghantar surat terus kepada guru berkenaan sama ada tanpa salinan atau hanya salinan kepada Guru Besar bukannya memohon kebenaran kepada Guru Besar apalagi kepada Pengarah Pelajaran Negeri. Ada laporan yang kita terima guru terlibat kadang pergi tanpa kebenaran Guru Besar atau dengan kebenaran Guru Besar berasaskan "budibicara" yang salah. Tindakan ini bukan saja menyalahi Perkara 5 Tatacara Kelakuan Pegawai Awam 1993 tetapi melanggar Etika Profesion Keguruan dalam perkara Tanggungjawab Kepada Pelajar. Apa lagi meninggalkan sekolah dalam kehadiran wajib seperti masa pengajaran-pembelajaran, kelas bimbingan, aktiviti perkhemahan, mesyuarat agong pibg dan sebagainya. Pentafsiran kehadiran wajib bertugas perlu difahami oleh semua guru. Ianya bukan sahaja wajib hadir waktu bekerja tetapi menghadiri kegiatan persekolahan lain seperti arahan Guru Besar berasaskan peraturan sedia ada.
Kementerian Pelajaran Malaysia amat menghargai kepakaran guru untuk melaksanakan kerja luar serta memperolehi imbuhan samping. Namun ianya mestilah mengikut prosidur dan tatacara yang betul. Jangan nanti "yang wajib ditinggalkan" dan "yang sunat diutamakan". Sebagai kakitangan awam integriti dan reputasi pegawai awam seperti guru perlu dipelihara agar masyarakat tidak memandang serong dan hilang kepercayaan. Oleh itu, KPM membenarkan guru melakukan kerja luar secara bersyarat dengan memohon dan mendapat kelulusan Pengarah Pelajaran Negeri. Pekeliling Perkhidmatan Bil 1 Tahun 1999, Penglibatan Pegawai dan Kakitangan Di Bawah Kementerian Pendidikan Dalam Pekerjaan Luar telah menerangkan dengan jelas tentang cara dan prosidurnya. Antara syarat-syarat yang memboleh seseorang guru melaksanakan kerja luar:
- telah disahkan dalam jawatan
- permohonan kepada Pengarah Negeri 2 bulan dari tarikh kerja luar bermula
- kerja luar tidak melebihi 4 jam seminggu
- tidak mengganggu tugas dan dilaksanakan di luar waktu pejabat
- tidak digalakkan melaksanakan kerja luar di luar zon tempat bertugas
- sahlaku kelulusan dalam satu tahun dan boleh mohon kembali
Kita berharap selepas ini Guru Besar tidak lagi sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana guru di bawah kawalan mereka untuk terlibat dengan kegiatan dan kerja-kerja luar jika ianya menjejaskan tumpuan kepada tugas-tugas utama di sekolah. Patuhi setiap peraturan dan prosidur yang ada dalam meluluskan cuti atau penglibatan guru dengan kerja luar supaya integriti dan kecekapan kita tidak dipersoalkan.
No comments:
Post a Comment