Saturday, September 22, 2012

Sembang Sabtu : Memilih bakal pengurus sekolah



Hujung minggu ini @ 30 September 2012 adalah tarikh tutup permohonan Pengisian DGA32 (KUP) ke DGA32 Hakiki atau ringkasnya kita panggil iGPK32 akan tamat. Iklan ini bertujuan memilih, menapis dan menyaring permohonan mereka yang berada pada gred DGA32 (KUP) dan  berminat mengisi jawatan penyelia di PPD, JPN dan sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah pada tahun 2013. Ini adalah sesi siri ketiga dilaksanakan apabila proses perlantikan mereka ini diletak di bawah bidang kuasa Pengarah Pelajaran negeri.

Dua siri pemilihan yang lepas kita telah melaksanakan prosidur proses pemilihan yang ketat berasaskan garis panduan yang disediakan oleh KPM namun kita terlepas "segelintir" kumpulan pengurusan sekolah yang tidak mencapai “piawaian” sebagai Guru Penolong Kanan yang sepatutnya. Piawaian yang kita harapkan adalah seorang GPK yang berkemahiran, berpengetahuan, berintegriti tinggi, hormat ketua, hormat rakan sejawat,mempunyai visi dan misi kecemerlangan organisasi, pemimpin yang boleh membantu transform organisasi ke arah yang lebih gemilang dan terbilang.

Malangnya kita menerima maklumbalas pengurusan sekolah dan warga sekolah ada segelintir yang melepasi kelayakan yang dianugerahkan amanah sebagai GPK sangat mendukacitakan. Bukan sahaja tidak cekap mengurus, tidak cekap berkomunikasi tapi bersikap negative,malas mempertingkatkan pengetahuan dan ilmu tetapi juga pencetus hura-hara dalam organisasi, bermulut longkang, rendah degree integritinya dan menyusahkan ramai orang. Kadang-kadang mengunakan nama pegawai di jabatan atau PPD kononnya untuk menghalalkan cara dan tindakan semborono. Justru itulah timbul tuduhan kalangan guru-guru kononnya  GPK ini kroni si anu dan si anu seperti terkeluar dalam Bualbicara USR. Walhal pegawai-pegawai yang diguna nama mereka tidak tahu menahupun. Mereka bukan dilantik atau proksi pegawai berkenaan tetapi diluluskan panel peringkat PPD dan JPN.

Memilih GPK adalah memilih Guru Besar untuk masa depan. Justru itu kesilapan memilih GPK akan menyebabkan kesilapan melantik Guru Besar dan bakal menghancurkan reputasi pendidikan di sekolah. Kita mungkin boleh membuat analogi sendiri bahawa segelintir Guru Besar yang bermasalah sekarang adalah lahir daripada GPK masa lalu. Kesilapan besar lagi Guru Besar masa itu ialah menilai prestasi  GPK secara sembarangan bukan secara holistik. Terdapat kecenderungan di kalangan sebilangan kita Guru Besar "mengeluarkan" GPK bermasalah dengan memberi prestasi yang baik. Lantas mereka mungkin tersenarai dalam calon tawaran sebagai Guru Besar. Maka berlakulah “tragedi” berpanjangan ini.

Justru itu kita mohon bagi pemilihan siri ketiga ini, agar Guru Besar membuat penelitian yang betul dengan betul permohonan calon mana yang perlu diketengahkan. Tilik taakul secara keseluruhan aspek personaliti calon dari segi perwatakan, sahsiah, kemahiran, pengetahuan, pengalaman supaya calon berkenaan dapat memenuhi kreteria sebenar sebagai pemimpin sekolah. Tanggungjawab Guru Besar di sini amat penting kerana kita adalah penyokong pertama. Pertama akan menentukan kedua, ketiga dan seterusnya. Kita bukan sekadar hendak memilih calon GPK tetapi kita hendak menentukan juga calon Guru Besar pada masa depan yang bakal mengambil alih tempat kita. Kita tentunya tidak rela mewariskan apa yang kita bina dengan jerih-perih kepada mereka yang tidak berupaya dan lemah.

Kita juga mengharapkan pasukan panel PPD akan membuat penelitian yang lebih ketat untuk menyaring dan menapis calon sebelum dikemukakan kepada panel negeri. Kita tidak boleh lagi memandang mudah implikasi jangka panjang yang bakal menimpa akibat kesilapan kecil yang kita buat. Kita kadang-kadang merasa muak dengan karenah yang ditimbulkan sedangkan sesuatu perkara itu amat remeh-temeh.

Kita juga akan mencadangkan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia,KPM supaya bukan sahaja kebenaran untuk melantik dan meluluskan permohonan perletakan jawatan GPK sekarang terletak di bawah bidang kuasa Pengarah Pelajaran negeri tetapi juga menambah satu lagi kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri menurunkan pangkat GPK kepada Guru Penolong kepada GPK-GPK yang tidak perform dan bermasalah. Selain kita boleh menggunakan kaedah percubaan selama enam bulan atau setahun. Selain memperkenalkan program mentoring berterusan. Kita yakin dengan cara-cara ini tidak ada lagi segelintir GPK ini menganggap jawatan GPK itu lesen untuk bermegah, berseronok membuli orang lain dan sebagainya tetapi sebagai satu amanah besar yang selalu diaudit kemampuannya.

Sementara kepada majoriti sahabat  Guru Penolong Kanan yang sentiasa positif dan proaktif gunakan platform GPK anda sebagai peluang untuk mempelajari teknik dan kaedah mengurus sekolah dengan berkesan. Jika suatu masa nanti anda diizinkan Allah menjawat jawatan Guru Besar, anda akan berada di kerusi Guru Besar dengan penuh penghormatan kerana ada sememangnya layak untuk mendudukinya.


4 comments:

  1. Salam...memilih dan terpilih untuk mengisi jawatan yang dianggap menjadi rebutan bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan..lebih2 lagi akan ada mereka yang betul2 layak tetapi tidak terpilih...maka kuasa yang diberikan serta sokongan dari GB patut diambilkira kerana hanya GB yang tahu kreteria seseorang anak buahnya mampu mentadbir dan ada kelayakan sebagai pengurus...

    Justeru...temuduga itu hanya penanda aras dan tidak dijadikan landasan untuk menilai seseorang guru dalam masa 15 minit semata-mata untuk melayakkan mereka memegang jawatan tersebut..

    ReplyDelete
  2. Fatmasha,
    Kreteria pemilihan GPK prestasi 3 tahun = 45%
    Kemahiran, pengalaman, sumbangan = 35 %
    Temuduga = 20%

    Temuduga hanya untuk calon terakhir senarai untuk comform dan ranking. Sapa kata temuduga jadi syarat utama. Tapi bagi yang tak faham prosidur yang tu kecil itu yang dilihat besar. Yang kelemhan prestasi, kemahiran, pengetahuan dan sumbangan naper tidak disebut ?

    ReplyDelete
  3. Salam.

    Secara umumnya bersetuju dengan apa yang ditulis tapi sejauh manakah Guru Besar (GB) dapat membuat penilitian secara holistik, kadang-kadang ibarat sudah terikat minda mereka bahawa GPK mereka adalah calon layak yang akan mengambil alih tempat mereka, walhal kadang-kadang guru biasa lebih hebat dari GPK yang ada tapi mungkin rezeki tidak memihak mereka.

    Berkaitan dengan tempoh percubaan, saya amat bersetuju tempoh tersebut dilanjutkan juga kepada jawatan GB. Dari pemerhatian saya, timbulnya masalah dalam pentadbiran dan pengurusan dalam kalangan GPK sekolah amat berkait rapat dengan `stail’ atau sikap GB di sekolah itu sendiri. Terdapat juga GB yang `lepas tangan’ dalam segala permasalahan yang timbul. Kurangnya ilmu kepimpinan dan kadang-kadang dilihat kurang `bekerja’, ada pula banyak/pandai bercakap tapi kurang berbuat. Terdapat juga GB yang melepas terus tanggungjawab mereka kepada GPK, manakala GPK yang hanya mengikut perintah kerana menganggap GB orang yang amat berkuasa dan semua kata-kata GB perlu dilaksanakan tanpa mengira ianya wajar atau tidak. Walaupun kadang-kadang diri sendiri tertekan maka rasa tertekan dan arahan yang perlu dilakukan, diturunkan pula ke guru-guru bawahan.

    Kadang-kadang timbul pula rasa kasihan pada GPK, terutama yang baru dan setahun dua dalam bidang pentadbiran perlu mengurus dan `tackle’ guru bawahannya sedangkan ilmu mengurus amat kurang. Bagi yang baru memegang jawatan, persediaan memasuki bidang pentadbiran boleh dikatakan tiada langsung, jika ada pun hanya bersandar kepada komitmen P&P sahaja, sedangkan memasuki bidang pentadbiran mempunyai skop yang luas dan memerlukan pemikiran yang kritis. Banyak ilmu pengurusan yang perlu dikuasai. Pengalaman saya yang pernah memasang impian untuk memasuki bidang pentadbiran, saya banyak belajar dari mantan GB Hj. Muhammad bin Awang (mantan pengerusi MGB Terengganu) di samping membaca buku motivasi dan komunikasi berkesan. Saya cuba menguasai ICT sebagai aliran baru dalam pentadbiran dan saya juga mendalami bidang kewangan-perkhidmatan sekolah (isteri saya merupakan seorang kerani sekolah). Moga pengalaman saya boleh dijadikan panduan kepada bakal guru yang ada keinginan mengisi jawatan pentadbiran.

    Justeru itu, cadangan saya agak baik sekiranya seseorang guru yang akan ditawarkan ke jawatan pentadbiran perlu diberi, sedikit sebanyak pendedahan mengurus sebelum diberi tawaran supaya tidaklah guru-guru ini mendapat kejutan atau terkinja-kinja melaksanakan tugasan mereka. Gerakkan unit kaunseling atau unit berkaitan untuk pihak pentadbiran sekolah dapat membuat rujukan dari masa ke semasa atau adakan program berkala bagi meningkatkan motivasi dalam melaksanakan tugas mereka.

    Akhir kata, mohon maaf dari saya yang sekadar berkongsi pengalaman, idea dan pandangan, moga mana-mana guru yang berminat memegang jawatan atau yang telah memegang jawatan GB/GPK perlulah memajukan diri dalam semua “ilmu kepimpinan dan kependidikan”. Buat Unit Sekolah Rendah agar terus maju dalam menjalankan tugasnya.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  4. TQVM Cg Azmi atas pandangan bernas..Semoga ramai lagi guru-guru dapat memberi idea bernas dan teguran telus profesional mengenai pelbagai isu pendidikan.

    Emailkan kepada kami untuk dinilai dan disiarkan dalam Sembang Sabtu.

    ReplyDelete