Friday, September 28, 2012
Renungan Jumaat : Bila tarikh luput kita ?
Setiap makhluk yang hidup dan melata di muka bumi ini mempunyai tarikh luput. Kalau kita perhatikan, barang-barang keperluan seperti kicap, sos, susu dan lain-lain mempunyai tarikh luput yang telah siap ditulis pada labelnya. Bezanya manusia sebagai hamba Allah tidak mengetahui bilakah tarikh luput kita kerana pada tubuh badan manusia tidak mempunyai label yang mencatitkan tarikh luput manusia.
Walau bagaimanapun jika kita peka dan seringkali berfikir sudah banyak elemen yang menunjukkan kita telah mencapai had maksima dan menghampiri tarikh luput yang ditetapkan oleh Allah SWT. Misalnya dahulu kita makan durian tiga empat biji, sekarang cukup seulas sahaja kerana jika tidak kepala sudah pening. Dulu tiga empat kali seminggu makan daging, sekarang tersilap makan seketul darah mencacak naik. Dulu sekali makan nasi macam hendak makan dua tiga hari. Sekarang had makan nasi sudah tamat kerana pantang makan nasi gula dalam darah akan meningkat. Dulu sup ‘gearbox” tiap-tiap petang.Sekarang hendak hirup kuah tidak berani kerana tersilap hari bulan sendi bengkak,nafas menjadi sesak.
Dalam banyak hal kita telah menghampiri had dan limit yang telah ditakdirkan atas diri kita. Namun justru mengabaikan kesederhanaan maka ada sesetengah perkara yang diperuntukkan selama enam puluh tahun kita gunakannya dalam tempoh tiga puluh tahun sahaja. Inilah silap kita yang sewajarnya kita insaf dan redha terutama di saat menghampiri tarikh luput total kita.
Tarikh luput kita adalah hari kita meninggal dunia.
Tarikh luput kita adalah hari perpindahan kita dari dunia ke alam barzakh.
Tarikh luput kita adalah hari terakhir kita hidup di dunia ini.
Tarikh luput manusia tidak boleh dilanjutkan atau renewed seperti tarikh luput pada lesen memandu. Sebaik sahaja tamat tarikh luput manusia, bermakna tiada lagi peluang untuk kita kembali ke dunia ini.
Soalnya bilakah tarikh luput kita itu?
Tarikh luput hidup manusia adalah dalam pengetahuan Allah. Cuma yang pasti setiap seorang dari kita telah pun mempunyai tarikh luput itu. Allah sengaja merahsiakan. Mungkin jika manusia sudah mengetahui tarikh luput masing-masing sudah tentu ada yang akan merancang bila hendak melakukan kebaikan, bila hendak melakukan maksiat dan bila pula masa yang sesuai untuk bertaubat dan beramal soleh.
Firman Allah:
“Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati; dan Kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu akan dikembalikan.” (Al-Anbiya’: 35)
“Kami tidak membuat sesuatu makhluk sebelum kamu (Muhammad) untuk hidup selama-lamanya.” (Al-Anbiya’ :34)
Benarlah, bahawa tiada makhluk di atas muka bumi ini akan hidup untuk selama-lamanya. Manusia, tumbuh-tumbuhan yang melata dan haiwan yang berkeliaran akan mati juga. Jika diperhatikan alam dunia tempat kita tinggal, mencari rezeki dan bersuka ria ini pun suatu hari nanti akan musnah juga. Sistem alam dan sistem cakerawala juga mempunyai tarikh luput yang tidak kita ketahui melainkan melalui tanda-tanda akhir zaman yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadith. Setelah berlakunya tanda-tanda tersebut, maka insaflah bahawa dunia yang kita diami ini sedang menuju saat-saat kemusnahannya.
Allah tidak memberitahu bilakah tarikh luput manusia. Allah juga tidak memberitahu bilakah tarikh luput alam dunia ini. Semuanya dirahsiakan bagi menguji keimanan dan ketaqwaan manusia kepada Allah. Tetapi Allah yang Maha Penyayang Lagi Mengasihani memberikan tanda-tanda akan berakhirnya kehidupan kita.
Sedarlah… bila segala kekuatan yang ada pada kita telah lemah, kudrat tidak sekuat dulu, mata sudah semakin kabur, telinga semakin kurang pendengaran, ingatan semakin mudah lupa, rambut mula beruban, badan mula sakit di sana sini, makan sudah mula berpantang adalah antara tanda-tanda bahawa kita sedang menuju kepada tarikh luput kita. Bersediakah kita ?
sumber : disesuaikan dari tulisan Abu Wafi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment