Friday, September 7, 2012

Renugan Jumaat : Peranan ibubapa dan keluarga membantu anak-anak menghadapi peperiksaan


Sehari dua lagi (11 – 13 September 2012) anak-anak akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kebiasaannya dalan situasi begini ibu bapa yang lebih merasakan ketegangan dan kebimbingan

Pada saat begini, ibu bapa  mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi terutama ke sekolah-sekolah terpilih

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka dan pada masa sama menerima kelebihan selain memperbaiki kelemahan anak.
Di samping itu, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak, tetapi tidak memberi sokongan atau dorongan ke arah mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mendoakan anak mereka.

Selain mengulang kaji pelajaran di rumah, anak juga perlu digalak belajar secara berkumpulan kerana kaedah itu berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan dapat bersoal jawab jika ada perkara kurang jelas.Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk.Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti berkongsi nota, membanding jawapan dan bersaing sesama sendiri secara sihat.

Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah kerana dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh sakit ketika hari peperiksaan dan ini pasti akan menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan.Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan.

Jika ini dilakukan secara berterusan, Insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa.

Sebagai tanda sokongan ibu bapa perlu boleh menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan pada saat ini. Selain itu pastikan “iklim kekeluargaan” berada pada tahap selesa dan nyaman; tiada pertengkaran, perkelahian yang boleh mengganggu emosi anak-anak. Semua ahli keluarga perlu sepakat dan melakukan tindakan "menyokong" ahli yang akan menduduki peperiksaan tidak mendengar radio dengan kuat, memasang atau menonton tv tanpa kawalan dan sebagainya.

Ibu bapa adalah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apapun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja.

Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka.

Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa dihajatkan. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."

Semoga tip-tip mudah dan ringkas ini membantu kita membina kecemerlangan anak-anak di saat akhir menjelang peperiksaan...


No comments:

Post a Comment