Keputusan anak-anak ini turut dikongsi sama dengan ibubapa. Pelbagai rona dan rupa wajah ibubapa. Ada yang tersenyum gembira dan ada yang sedih pilu penuh kekesalan. Dan ada antara kita tanpa sedar turut menambahkan kepedihan anak-anak dengan leteran atau perbandingan dengan pencapaian abang atau kakak mereka yang lebih hebat dan cemerlang.Tanpa sedar kita membina darjat dan kasta antara anak dengan kita dan antara mereka.Sepatutnya ceritera itu berlaku bukan sekarang tetapi sebelum menduduki peperiksaan itupun kalau kita kira sebagai provokatif untuk membongkar potensi dan kesedaran mereka. Sekarang setelah keputusan keluar bukan itu caranya. Terimalah keputusan mereka seadanya. Hargailah walau tidak sehebat abang atau kakak mereka. Yang penting mereka adalah anak kita. Nilainya bukan 100% kepada keputusan peperiksaan.
SPM mereka tidak semesti cemerlang
Saya berkongsi pengalaman dan perasaan ini kerana saya juga mempunyai anak yang memperolehi keputusan yang tidak cemerlang seperti dua orang kakaknya. Kakak-kakaknya dari Tahun 6 sudah menunjukkan potensi.Mendapat PMR,SPM dengan cemerlang sekali. Selepas Matrikulasi dapat sambung ke universiti. Lepas ijazah terus sambung Sarjana.Salah seorang daripada kakaknya lompat kelas selepaas PTS. Walaupun beliau tidak mendapat keputusan seperti kakak-kakaknya saya bangga dengan pencapaiannya kerana saya sedar keupayaan sebenar dan sikap terhadap pelajarannya. Pada saya beliau telah berupaya mencapai tahap lebih baik bagi dirinya. Kecemerlangan ialah keupayaan seseorang mencapai sesuatu yang lebih baik dengan keupayaan dirinya bukannya dengan membandingkan dengan sesiapa.Orang yang cemerlang ialah:
"Apa yang dikerjakan dan dicapai pada hari ini lebih baik dari semalam dan besok mesti lebih baik dari hari ini"
Terimalah seadanya keputusan mereka walau seteruk mana sekalipun.Mudah-mudahan dengan pengalaman mengalami sendiri kegagalan dan simpati kita ibubapa melalui sokongan moral tidak berbelah bagi mereka boleh bangun kembali menebus segala kesilapan lalu. Ramai manusia yang berjaya hari ini adalah lahir dari manusia yang pernah gagal pada masa lalu. Percayalah Allah menjadikan manusia dengan pelbagai kecerdikan dan kepintaran . Ramai yang berjaya dalam hidup kerana kepintaran-kepintaran itu walaupun mereka kurang terserlah dari segi akademiknya. Lorong dan sokonglah mereka untuk mereka memilih apa yang mereka minati dengan keupayaan yang mereka ada. Mereka adalah harta dan permata kita yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Terimalah mereka seadanya tanpa pilih kasih,tanpa prajudis.
No comments:
Post a Comment