Saturday, March 19, 2011

Perdana Menteri ucap tahniah kepada guru


KUALA LUMPUR 18 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak  mengucapkan tahniah kepada 1,987 guru terlatih atas kejayaan mereka menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian pada Istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) kali pertama pada 16 dan 17 Mac lalu.
Perdana Menteri turut berbangga di atas kejayaan mereka yang merupakan sebahagian daripada barisan pertama guru-guru memperoleh ijazah tersebut.

"Pencapaian ini sangat bermakna bagi saya, apatah lagi ia adalah lanjutan dasar untuk memantapkan sistem pendidikan guru di bawah Akta Pendidikan 1996.

''Pindaan akta ini pada 2008 memperuntukkan kuasa kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) menganugerahkan sijil, diploma dan ijazah perguruan kepada graduan," katanya dalam perutusan khas yang diberikan Perdana Menteri kepada semua penerima ijazah tersebut baru-baru ini.

Pada istiadat konvokesyen itu, seramai 1,987 guru terlatih dan berkualiti dari 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara yang berjaya menamatkan pengajian selama lima tahun enam bulan, menerima ijazah masing-masing.

Istiadat itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kelmarin.

Dalam perutusannya juga, Perdana Menteri berharap, kejayaan itu dapat mendorong para guru berkenaan menjadi lebih bersemangat mencurahkan khidmat bakti.

"Semoga mereka dapat memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari di IPG demi kecemerlangan pendidikan generasi muda dan negara," ujarnya.

Sumber: Utusan Online

0 ulasan:

Post a Comment