Wednesday, February 27, 2013

Sekolah Bawah Jambatan Di India


Tatkala saya menulis post ini, air mata sudah pun berlinangan di kelopak mata saya, saya bersyukur kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman dan makmur malah stabil dari segi ekonomi. Cuba kita lihat gambar di bawah ini, bertapa peritnya kanak-kanak “sampah” di New Delhi untuk menuntut ilmu, kanak-kanak ini tiada ibubapa malah tiada tempat tinggal, syukur kepada tuhan kerana masih ada insan yang berhati mulia sanggup menebarkan bakti untuk mendidik anak-anak ini. Jika di Malaysia, gurulah yang paling kita benci, harta benda guru menjadi mangsa luahan perasaan pelajar yang tidak puas hati, anda patut bersyukur kerana masih ada guru. Rajesh Kumar Sharma dan Laxmi Chandra merupakan insan yang tidak pernah mengenal erti penat dah lelah dalam mendidik anak-anak buangan ini, mereka mewujudkan sebuah sekolah secara percuma untuk anak-anak ini dan tidak pernah mengharapkan sebarang balasan. Sifat seperti ini harus kita contohi :’)




Mesyuarat Pemurnian Laporan Outcome KEDAP

PORT DICKSONS - Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM melalui Unit Pembangunan Murid Orang Asli dan Pribumi mengadakan mesyuarat berkenaan dari 26 - 28 Februari 2013 di Corus Paradise Hotel di Port Dicksons, Negeri Sembilan. Murid ini melibatkan  Pegawai Meja Asli di JPN Negeri , Bahagian Pembangunan Kurikulum, IPGM, PPD ,BPG, Kewangan dan JAKOA.

Mesyuarat yang memasuki siri keempat ini membincangkan dapatan kajian rintis  outcome KEDAP dilaksanakan  93 buah sekolah orang Asli dan Pribumi Semenanjung, Sabah dan Serawak yang melibatkan 606 orang respondan. Asas laporan kajian ini telah dibina dan diusahakan dalam mesyuarat jawatankuasa terdahulu. Mesyuarat kali ini untuk melengkapkan maklumat dan elemen penting kajian berkenaan.

Kajian rintis ini nanti akan menjadi asas untuk melihat keberkesanan pelaksanaan KEDAP dan kajian-kajian lain yang lebih mendalam sebagai usaha membantu masyarakat orang Asli keluar dari kepompong buta huruf di samping dapat membantu anak-anak mereka. Selain dari itu , kita berharap dapatan kajian ini kita dapat mengenalpasti isu dan masalah serta menyediakan strategi penambahbaikan agar program ini memberi impak yang maksima.

Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM36 juta bagi melaksanakan program KEDAP sejak ianya dimulakan pada tahun 2008 hingga sekarang adalah bukti jelas bahawa pendidikan masyarakat dewasa orang Asli dan Pribumi penting dan tidak diabaikan. Justru itu kajian dapatan outcome KEDAP adalah usaha penilaian berterusan kementeriaan bagi melihat kesan dan impaknya. Kita berharap dengan  tranformasi pendidikan dan pendemokrasian pendidikan, masyarakat orang Asli dan Pribumi turut sama menikmatinya.

Tuesday, February 26, 2013

Sarana Ibu Bapa Dan Sekolah Berperanan Menambah Baik Mutu Persekolahan Negara



KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, iaitu Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan semalam, bakal berperanan menambah baik prestasi akademik sekolah serta mempergiatkan lagi aktiviti di luar bilik darjah pada masa depan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah yang berkesan dan ini sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Pendidikan.

"Konsep Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah seumpama ini telah lama dijalankan di negara maju dalam memastikan taraf pencapaian akademik dan prasarana (kemudahan) sekolah mencapai standard yang baik serta membantu mendapat bantuan kewangan daripada pihak swasta dalam pelbagai akitiviti sekolah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semalam.

Inisiatif Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah itu terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Sarana Ibu Bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

Mohamad Ali berkata selain ibu bapa dan guru, pembabitan masyarakat setempat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta juga diperlukan dalam menghulurkan bantuan dari sudut luahan idea, pendapat dan bantuan kewangan.

"GLC dan pihak swasta dapat memberi bantuan kepada kumpulan sokongan ini dengan menambah baik kemudahan sekolah, menganjurkan sesi motivasi oleh penceramah berpengalaman, membantu mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sebagainya," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata NUTP menyambut baik kewujudan kumpulan sokongan itu dapat membantu pihak sekolah dalam mengurangkan beban guru seperti mengisi tabung PIBG, memperbaiki tahap pencapaian pelajar dalam akademik dan sukan dan meningkatkan kehadiran ibu dan bapa dalam mesyuarat PIBG setiap tahun.

"Langkah kementerian ini merupakan antara jalan penyelesaian dalam mengimbangi jurang perbezaan dalam pencapaian akademik pelajar dan kemudahan sekolah di bandar dan di luar bandar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran perlu menyediakan garis panduan yang jelas mengenai kumpulan sokongan berkenaan dan mengadakan perjumpaan membabitkan wakil kementerian, NUTP dan PIBGN untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat demi memastikan inisiatif itu berjalan dengan baik.

-- BERNAMA


Monday, February 25, 2013

Taklimat dan Bengkel Kelestarian SBT Terengganu

MARANG - " Pendidikan bukan sekadar pengajaran dan pembelajaran tetapi cabaran lebih besar kepada pimpinan sekolah dan guru ialah membina kemahiran berfikir, membina kemahiran kepimpinan dan juga kemahiran soft skill kepada murid-murid", demikian antara inti pati ucap utama Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu sempena Taklimat dan Bengkel Kelestarian Sekolah Berprestasi Tinggi Terengganu pagi ini.

Majlis berkenaan telah diadakan di Dewan Besar, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu dengan melibatkan 149 orang pengurus sekolah rendah dan 17 orang pengurus sekolah menengah dari Sekolah Band 2. Turut hadir ialah wakil-wakil Sektor di Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Antara lain tujuan taklimat dan bengkel ini ialah;-
  • memberi pendedahan kepada pengurus sekolah Band 2 tentang kedudukan mereka dan hala tuju seterusnya
  • memberi pendedahan tentang konsep dan ciri sekolah SBT
  • memandu pengurus sekolah Band 2 ke arah SBT melalui kekuatan sedia ada dan plan strategik yang perlu dibina
  • menyedarkan pengurus sekolah Band 2 tentang potensi yang ada untuk meraih anugerah  SBT
Ketua Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Terengganu, Tuan Haji Wan Ahmad Hizan Wan Hassan telah dijemput untuk memberi imput  utama berkaitan konsep , ciri SBT, annex dan SKPM. Dalam masa lebih dua jam beliau telah memberi kupasan yang lengkap dan menyeluruh tentang SBT dan kita yakin semua Guru Besar dan Pengetua yang hadir memahami dengan jelas tentang SBT. Kita harap input yang diperolehi mampu dikomunikasi dengan berkesan kepada seluruh warga sekolah.

Turut memberi input penting juga ialah Ketua Sektor, Sektor Jaminan Kualiti YM Haji Tengku Mohd Yusof Tengku Mansor. Beliau banyak mengupas tentang kepimpinan pengurus sekolah bagi menggarap SBT sama ada  mempertahankan yang sedia ada dan menambah yang baru. Tegas beliau pemimpin SBT mesti mempunyai ketrampilan yang tinggi.

Apapun kita berharap pengurus sekolah Band 2 dapat membuat persiapan untuk berusaha ke arah Band 1. Apabila berada pada Band 1 sahaja baru mereka layak memohon SBT bagi meraih anugerah prestej yang menawarkan pelbagai insentif yang lumayan. Bidang Amnexx pihak sekolah telahpun boleh bersedia dan Sekolah Band 2 ini mereka kadang-kadangnya telah ada kekuatan-kekuatan itu. Walau bagaimanapun pesan Timbalan Pengarah jangan sampai kita meninggalkan beberapa perkara penting justru mengejar SBT termasuk menekan guru dan warga sekolah hingga menjadikan diri kita seorang pemimpin yang autokratik. Gunalah kebijaksanaan melalui kerjasama dan penyatuan visi dan misi bersama untuk mencapainya.



Sunday, February 24, 2013

Permintaan yang tidak masuk akal

Hari ini pagi-pagi lagi seorang penjaga datang bertemu dan mengadu kepada Bos kami tentang anaknya di sebuah sekolah terkenal juga di daerah Kuala Terengganu ini. Setelah berlegar-legar dan berpusing-pusing beliau melahirkan rasa tidak puas hati kepada guru di sekolah tersebut kerana mendenda anaknya yang kurang sihat. Suara amarahnya kepada guru dan sekolah anaknya boleh didengari sampai keluar. Nasib baik Bos kami yang merupakan bekas anak polis dan agak terkenal juga dengan "jengilnya" cool pagi ini. Kami difahamkan sekolah dan PIBG telah mengambil inisiatif menyelesaikan masalah ini, namun daripada apa yang tergambar adegan cerita ini masih ada plot yang belum tamat.

Kami yang telah biasa dengan keadaan ini hanya tersenyum walaupun sebagai manusia biasa dan juga guru merasa berdesing dan berdengung.Sabar je la. Mungkin sebahagian pendapatan atau gaji kami ialah untuk menerima kemarahan dan rasa tidak puas hati pelanggan walaupun kadang-kadang sangat kecil. Sebagai orang yang pernah menjadi guru dan bergelumang dengan anak murid tidak ada niat untuk menganiaya murid apalagi mencedera dan "membunuh" murid. 

Namun terdapat ibubapa atau penjaga zaman ini yang sayang tidak kena tempat bak kata orang tua-tua "cerdik tidak boleh tumpang, bodoh tak boleh diajar". Mari kita lihat permintaan tidak masuk akal seorang pembaca akhbar yang mungkin juga sebagai penjaga atau ibubapa kepada seseorang pelajar...



Kemahuan gila dan permintaan tidak masuk akal ini dimuatnaik melalui seorang guru dan setakat ini telah dikongsi sebanyak 4,074 kali , 948 komen dan 2,404 like. Lihat respone dan komen  cikgu berkenaan terhadap isu di atas...
.
wahai mak bapak.. tidaklah menjadi kegemaran guru utk memarah, membebel, merotan dan memukul anak2 anda.. kami x suka.. kami sndr banyak keje nak buat selain dari nak marah anak anda yg ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. mungkin mewarisi sifat anda.. tapi mahu atau tidak kami sbg guru perlu untuk memastikan mereka belajar dan melaksanakan tugas. wahai ibu dan bapa.. adakah kamu patuh pd suruhan agama dan tuhan kamu? kenapa kamu patuh? kerana kamu adalah insan.. kerana kamu adalah hamba.. dan kenapa pelajar perlu utk patuh dan laksanakan tugas sbg pelajar? kerana mereka adalah pelajar dan mereka perlu utk belajar. saya juga patuh pd tuhan dan agama saya.. saya juga patuh dan arahan pengetua. sedang saya yg cikgu pun boleh dengar cakap.. apa kuasa dan kehebatan anak anda sampaikan tidak boleh ditegur walau sedikit. apakah kuasa undang2 skrg membuatkan bapak dan ibu buta?

wahao bapak dan ibu.. kami para2 guru tidaklah kejam. tidaklah jahat dan tidaklah gila.. malah, kami rasa, lebih ramai guru2 yg mnjd gila.. mendapat kencing manis, sakit jantung, darah tinggi semata2 menghadap muka anak2 anda setiap hari yg kurang ajar dan melawan guru. tapi, masih... kesalahan diletakkan di tangan guru. katanya guru tidak pandai mengajar.. wahai bapak dan ibu... kalau dah anak anda mnjd tuhan di sekolah, membuat undang2 sndr. boleh tidur dan x boleh kena marah bila x nak belajar, apa kuasa yg kami ada utk jadikan anak anda sbg manusia??

kami bukan tuhan yg boleh berikan hidayah.. kami bukan nabi yg bersifat maksum dan pemaaf setiap masa. kami hanya guru biasa yg mungkin tidak didengari suara.

wahai bapak dan ibu.. bila anda anda mendapat keputusan yg cemerlang.. anda akan cakap.. "sbb anak saya pandai"


bila anak anda mndpt keputusan yg corot.. jawapan anda.
"cikgu tu x pandai mengajar"

wahai bapak dan ibu.. kalau dah mcm ni la gayanya.. anak anda akan menjd bodoh.. dan terus mnjd bangang abadi.. walaupun guru yg mengajar anak anda itu.. adalah guru dari syurga.

sekian.. terima kasih.

yg benar.. guru pedalaman sarawak yg disayangi pelajar.

Sumber.


Saturday, February 23, 2013

Bahasa Inggeris Mungkin Mata Pelajaran Wajib Lulus Di Peringkat SPM - Muhyiddin



KOTA KINABALU, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun saranan itu hanya akan dilaksanakan apabila pelajar dan sistem pembelajaran telah bersedia.

"Ramai memberitahu kepada saya, walaupun pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah sudah baik tetapi ada yang cakap ini belum cukup dan perlu ada usaha untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di seluruh negara.

"Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan menetapkan supaya lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara yang wajib...mesti lulus,' katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Guru Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini Sabtu.

Bagi mencapai tujuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya akan menentukan terlebih dahulu "guru yang opsyennya Bahasa Inggeris dapat mendidik anak-anak ilmu bahasa supaya ia dapat menguasai Bahasa Inggeris seperti apa yang dicapai di negara maju di dunia pada hari ini".

-- BERNAMA


Sembang Sabtu : Peka vs Pekak

Dari semasa ke semasa kita dihimpit pelbagai perubahan. Sama ada kita sedar atau peka dengan perubahan yang berlaku atau kita pekakkan telinga menghadapinya kita akan tetap menerima tempiasnya. Satu perubahan ketara yang dapat dilihat daripada sikap guru kita hari ini mereka sudah berani meluah perasaan. Mereka sudah berani menyalurkan perasaan tidak puas hati dan terkilan terhadap pentadbir sekolah sama ada secara terbuka atau tertutup. Keberanian ini juga barangkali didorong oleh kemudahan prasarana rangkaian dan medium komunikasi seperti email, sms, blog dan  media sosial lain yang ada.

Mereka sudah begitu peka dan mahir dengan salah guna kuasa pengurusan sekolah, ketidakadilan dan berbagai-bagai kelemahan lagi sehingga akhirnya mereka menemui saluran meluahkan segala ketidakpuasan hati mereka ke peringkat pengurusan tertinggi organisasi. Aduan mereka tidak kira dalam apa-apa bentuk sekalipun WAJIB disiasat. Tidak seperti dahulu mungkin dibiarkan atau dibakulsampahkan. Zaman "bos always right" sudah berlalu.

Persoalannya adakah mereka yang tergolong dalam kumpulan pengurusan ini peka dengan situasi dan perubahan ini. Atau mereka masih mengamal budaya lama dengan memekakkan telinga dan berterusan dengan stail feudal mengurus organisasi sekolah. Jikalau mereka peka pastinya aduan tentang pengurusan sekolah tidak akan meningkat dari semasa ke semasa. Sebagai pegawai penyiasat aduan saya tahu apa-apa yang berlaku kerana aduan-aduan tentang pengurusan akan sampai ke meja saya. Kadang-kadang saya bertanya pada diri sendiri, adakah rakan-rakan saya pengurus sekolah tidak peka dengan perinsip bahawa apa-apa yang mereka cakap, buat dan lakukan sentiasa dilihat bukan sahaja diperhati oleh Allah tetapi juga manusia di sekeliling mereka.

Kalau mereka peka mereka tidak sewenangnya datang dan balik sesuka hati kerana guru tahu waktu bekerja Guru Besar adalah lapan jam sehari kerana Guru Besar menerima cuti tahunan 35 hari setahun. Ada seribu satu macam aduan tentang mereka. Ada Guru Besar nampak teliti sangat jaga prosedur kewangan tetapi  membuat tuntutan terhadap program yang tidak dilaksanakanpun. Apakah mereka menganggap Guru Penolong Kanan dan guru yang ada tidak tahu dan boleh disembunyikan. Adakah Guru Besar lupa dalam borang pemantauan pengurusan sekolah kita minta laporan aktiviti dari setiap GPK dengan aviden sekali. Bagaimana mereka hendak sediakan aviden jika program tiada tapi duit sekolah dibelanjakan.

Kita juga menerima aduan tentang sikap dan tutur kata Guru Besar yang mereka anggap sombong, kasar dan tidak bertamadun sama ada dengan murid atau guru. Hati mereka terguris dengan diksi dan frasa yang kita gunakan. Mungkin kita tidak sedar tapi kita kena peka. Zaman maki hamun dan herdikan sudah kurang sesuai. Kita telahpun belajar teori komunikasi berkesan maka amalkan agar kebiasaan yang kurang sesuai itu berubah menjadi kebiasaan yang  betul. Kita perlu sedar kebijaksanaan dan seni komunikasi adalah alat memikat dan menakluk minda, jiwa dan hati anak buah kita. Kadang-kadang bunyi sangat lembut namun kesannya mendalam menikam di jiwa.

Sememangnya semua orang sedar kita raja di sekolah. Namun kita juga harus sedar 'raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Kadang-kadang kita sewenang menentu jadual aktiviti sekolah mengikut jadual aktiviti peribadi kita. Kalau kita bercuti keluar negara maka program yang dah dirancang dalam kalender dibatalkan. Ada guru termasuk GPK sendiri sangat berasa hati dengan prestasi yang diberi tidak lebih 85% pun untuk sebuah sekolah. Ada laporan yang sampai Guru Besar kaki pinjam dan sapu duit, tidak sebulu dengan PIBG dan bermacam-macam lagi..

Situasi tidak peka dan pekak pada persekitaran inilah menyebabkan imej kita sebagai Guru Besar tercalar. Mungkin yang terlibat hanya satu dua orang tetapi ia cukup untuk menyebabkan integriti kita diragui dan dipersoalkan sehingga mencemar nama baik panel pemilih jabatan yang memilih kita. Kita yakin jika Guru Besar melaksanakan kerjanya yang betul dengan betul termasuk komunikasinya dengan berhemah walaupun ada juga aduan Guru Besar tidak perlu risau. Guru Besar mesti memainkan peranan mereka sebagai guru besar. Membiarkan guru bermasalah tanpa apa-apa tindakan juga dipersoalkan orang sebagai lemah dan tidak berwibawa.

Kita sangat-sangat berharap pengurus sekolah sensitif dengan perkara ini dan berharap MGB Daerah dan Negeri sentiasa menyedarkan dan memberi bimbingan serta nasihat kepada ahli-ahli mereka yang masih memekakkan telinga untuk berubah. Kita mempunyai ramai kalangan Guru Besar yang hebat dan berwibawa yang boleh menjadi mentor kepada segelintir ini. Ingatlah dalam banyak hal kita menjadi susah dan sukar bukan kerana orang lain tetapi kerana kita menzalimi diri kita sendiri


Friday, February 22, 2013

Perbandingan Band SR Terengganu

Band Sekolah telah menjadi satu makanisma penting untuk mengukur pencapaian dan rangking keseluruhan sesebuah sekolah. Dua elemen utama bagi menentukan band sekolah ialah Gred Purata Sekolah (GPS) yang menyumbang 70% dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang menyumbang 30%. GPS diperolehi melalui keputusan peperiksaan awam dan SKPM meliputi semua bidang pengurusan persekolahan dengan  skor kendiri yang diberi berasaskan aviden yang tepat dan munasabah. Hasil pencapaian keduanya dirumuskan dan skor pemarkahan diperolehi akan menjadi penentuan band sebagaimana berikut:


Pencapaian Band SR Terengganu dari tahun 2010 hingga 2012 ditunjukkan sebagaimana berikut:


Berasaskan dapatan data di atas pencapaian sekolah pada Band 1 dan Band 2 menunjukkan peningkatan yang baik. Sementara sekolah-sekolah pada Band 5,6,7 di sekitar 1.2% dan ianya adalah sekolah-sekolah pendidikan khas dan sekolah orang Asli. Kita berharap dengan kesedaran dan kefahaman pihak sekolah mengenai fungsi dan makna band usaha-usaha berterusan untuk mencapai tahap lebih baik akan terus dilaksanakan. Adalah wajar maklumat dan kefahaman ini dikongsi dengan seluruh warga sekolah agar mereka tahu di mana mereka berada dan peranan yang perlu mereka lakukan.

Tahniah kepada seluruh kepimpinan sekolah dan warga guru Terengganu yang telah memberi sumbangan besar dalam memastikan keterbilangan sekolah rendah Terengganu. Insyaallah marilah kita terus hayati dan usahakan maksud hadis ini, "Bahawa orang cemerlang itu sentiasa memastikan apa yang dikerjakan hari ini mesti lebih baik dari semalam, apa yang dikerjakan esok  mesti lebih baik dari hari ini".



Renungan Jumaat : Toleransinya terhadap sesuatu yang dibencinya



Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang berwatak lemah lembut pada segala hal, lemah lembut lahir dan batin. Mudah diketahui pada raut wajahnya ketika Baginda sedang marah ataupun sedang redha. Meskipun demikian, Baginda tetap tidak suka menampakkan sikap kebenciannya kepada seseorang secara terus terang.

Pernah berlaku pada suatu ketika bahawa seorang Arab dusun kencing di dalam masjid di hadapan majlis Rasulullah s.a.w. maka para sahabat segera mendapatkan orang itu untuk melakukan kekerasan terhadapnya. Tetapi Rasulullah s.a.w. segera menghalang mereka dengan berkata: "Janganlah putuskan kencingnya" (yakni: biarlah ia kencing hingga selesai).

Sesudah itu, Baginda bersabda kepadanya: "Dalam masjid-masjid serupa ini tidak boleh dibuat sesuatu semacam itu".

Merujuk kepada peristiwa itu, cuba kita muhasabah diri kita selaku umatnya dan sebagai guru (muadib) selaku pewarisnya mendidik anak-anak yang naif dan tidak tahu banyak perkara . Bukan sahaja kesilapan yang dilakukan murid dihukum tidak setimpal bahkan dimarah dengan ucapan yang kadangnya menyimpang jauh dari mendidik.

Begitu juga dalam kehidupan masyarakat kita. Di mana ada segelintir daripada kita yang tidak sebulu dan selari dengan faham ilmu mereka  akan dianggap jahil, dikutuk, dicerca, dihina walaupun dalam kelompok berbangsa dan beragama seperti mereka. Bahkan kata-kata nista itu seperti makanan ruji bagi batin dan jiwa mereka. Tentunya ia tidak selari dengan akhlak dan sifat toleransi yang ada pada Rasulullah s.a.w

Marilah kita bermuhasabah diri dan menghayati mutiara akhlak Rasulullah s.a.w sebagai amalan dan sunah kehidupan kita supaya selari dengan sunatullah.