Friday, February 1, 2013
Renungan Jumaat : Suka memaafkan orang
Sempena Sambutan Maulidurrasul yang masih berlangsung kami paparkan cerita dan tulisan yang menggambarkan ketinggian akhlak dan keperibadian Rasullallah sebagai cermin ukuran dan panduan untuk kita contohi...
Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat lapang dada dan suka memaafkan orang lain meskipun Baginda mampu membalas dendam.
Sekali peristiwa dalam suatu peperangan, seorang dari kaum musyrikin telah melihat kaum Muslimin sedang berehat-rehat, lalu ia pun mendapatkan Rasulullah dan berdiri di kepalanya dengan sebilah pedang, seraya berkata kepada Baginda: Siapakah yang dapat mempertahankan engkau dari pedangku ini?
Rasulullah s.a.w. segera menjawab: Allah. Mendengar perkataan itu, gementarlah tangan orang musyrik itu dan pedang itu pun jatuh dari tangannya.
Maka Rasulullah s.a.w. pun mengambilnya, seraya berkata pula kepadanya: Siapakah kini yang dapat mempertahankan engkau daripadaku pula? Orang Musyrik itu dengan susah payah menjawab: Ambillah nyawaku dengan cara yang baik.
Baginda pula berkata kepadanya: Katakanlah: Asy-hadu Allaa Illaha Illallahu wa Annii Rasulullaahi (Aku menyaksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan aku ini Rasulullah).
Katanya: Tidak. Aku tidak akan mengucapkannya, akan tetapi aku berjanji tidak akan memerangimu lagi, dan tidak akan membantu orang-orang yang memerangimu itu.
Oleh Baginda dibebaskannya orang itu, lalu ia pun mendapati kaumnya seraya berkata: wahai kaumku! Aku telah datang dari seorang yang amat baik sekali di antara manusia sekalian (yang di maksudkannya ialah Nabi Muhammad s.a.w.)
Dalam peristiwa-peristiwa yang lain, banyak sekali berlaku para sahabat meminta izin membunuh orang-orang yang membuat jahat kepada Rasulullah s.a.w. Mereka mengatakan kepadanya: Izinkanlah kami menetak kepalanya wahai Rasulullah! Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak bersetuju malah malarang.
Dalam pada itu Baginda tidak pernah menolak alasan-alasan orang yang memberikan keuzuran kepadanya, dan Baginda sering berkata:
“Mudah-mudahan Allah merahmati saudaraku Musa, sebenarnya beliau itu telah disakiti lebih dari itu, tetapi beliau bersabar saja.”
Baginda pula berkata:
“Jangan sampai ada seseorang kamu yang menyampaikan sesuatu berita tentang seorang dari para sahabatku, sesungguhnya aku ingin keluar kepadamu sedangkan aku dalam keadaan berlapang dada”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment