Saturday, February 9, 2013

Sembang Sabtu : Buat kerja betul dengan cara yang betul


Biarpun dalam banyak hal kita mengutamakan produktiviti, output dan juga outcome sebagai hasil sut kerjabuat kita namun dalam masa yang sama kita tidak boleh ketepikan kaedah atau cara bagaimana kita melaksanakan proses kerja berkaitan. Apa yang kita sering harapkan dan mahukan setiap denyut kerja kita menjadi ibadat dengan niat yang ikhlas dan cara yang betul mengikut syariat. Kita mahu  kerja yang betul dilaksanakan dengan cara yang betul bukannya kerja betul itu dilaksanakan dengan cara yang salah ataupun kerja salah dibuat dengan betul apalagi kerja salah dibuat dengan cara yang salah.

Kalau kita perhati dan telitikan banyak dalam kerja betul  pendidikan anak-anak kita lakukan dengan cara yang salah. Dan lebih malang kita tidak pernah merasa berdosa atas kesalahan itu kerana terbiasa hingga tumbuh stigma dalam pemikiran bahawa apa yang kita buat itu betul. Banyak contoh yang boleh kita kutip. Misalnya dalam penyediaan bahan pengajaran-pembelajaran kita sediakan bahan yang sama walaupun murid kita mempunyai aras yang berbeza. Atau dalam pemeriksaan latihan pelajar kita mungkin periksa tapi kadangnya murid tidak tahu memperbetulkan apa kesilapannya kerana sistem dan skima pemeriksaan yang tidak kemas.

Begitu juga dalam pengurusan kewangan sekolah. Ada setengah pengurus sekolah dan guru menganggap prosidur dan tatacara kewangan itu menyusahkan kita untuk membelanjakan peruntukan yang disediakan. Justru tidak sedikit kita mentaklik atau menghalalkan dengan cara yang salah peruntukan yang disediakan kerana memenuhi kehendak dan kemahuan kita atas alasan keperluan murid hingga akhirnya ada yang membazir, terjerat audit ataupun SPRM. Walhal kita boleh mengelak untuk melaku cara yang tidak betul bagi kerja betul jika kita sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran. Sentiasa merujuk kepada yang pakar. Lama-kelamaan kerja betul dengan cara yang betul menjadi rutin dan amalan yang sebati dalam budaya kerjabuat kita.

Mereka yang seronok dengan cara yang salah adalah mereka yang telah ditutup hatinya melihat kebenaran.Mereka hanya tersedar kembali apabila musibah perbuatan salah itu mengenai diri mereka. Waktu itu penyesalan baru akan datang kerana sudah menjadi tabiat dan fitrah, penyesalan tidak akan datang sebelum terjadinya peristiwa.

Banyak lagi kerja-kerja betul yang kita tidak lakukan dengan betul. Seribu satu macam penyakit dalam oerganisasi kita yang kadang tanpa kita sedar. Hasad-dengki, ego,cemburu, klik dan jiwa sadistik yakni seronok tengok orang lain susah atau menyusahkan orang lain kadang tumbuh subur hingga ada setengah penghuninya tidak tahu di mana mereka berada justru terlampau asyik. Keasyikan dengan cara yang salah dalam melaksanakan kerja betul akan menjauhkan berakah. Kadang-kadangnya kita merasa kecewa dalam dunia untuk mendidik manusia menjadi insan ada segelintir tukang didik  bukan sahaja melaksanakan kerja mendidik dengan salah tetapi juga menyuburkan jiwa mazmummah yang dasyat.

Marilah kita berusaha dan sentiasa berdoa semoga kita mampu melaksanakan kerja betul dengan cara yang betul agar ianya menjadi ibadah dan jariah berpanjangan serta meraih keberkatan Ilahi....


No comments:

Post a Comment