Saturday, February 23, 2013

Bahasa Inggeris Mungkin Mata Pelajaran Wajib Lulus Di Peringkat SPM - Muhyiddin



KOTA KINABALU, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun saranan itu hanya akan dilaksanakan apabila pelajar dan sistem pembelajaran telah bersedia.

"Ramai memberitahu kepada saya, walaupun pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah sudah baik tetapi ada yang cakap ini belum cukup dan perlu ada usaha untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di seluruh negara.

"Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan menetapkan supaya lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara yang wajib...mesti lulus,' katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Guru Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini Sabtu.

Bagi mencapai tujuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya akan menentukan terlebih dahulu "guru yang opsyennya Bahasa Inggeris dapat mendidik anak-anak ilmu bahasa supaya ia dapat menguasai Bahasa Inggeris seperti apa yang dicapai di negara maju di dunia pada hari ini".

-- BERNAMA


0 ulasan:

Post a Comment