Saturday, February 23, 2013

Sembang Sabtu : Peka vs Pekak

Dari semasa ke semasa kita dihimpit pelbagai perubahan. Sama ada kita sedar atau peka dengan perubahan yang berlaku atau kita pekakkan telinga menghadapinya kita akan tetap menerima tempiasnya. Satu perubahan ketara yang dapat dilihat daripada sikap guru kita hari ini mereka sudah berani meluah perasaan. Mereka sudah berani menyalurkan perasaan tidak puas hati dan terkilan terhadap pentadbir sekolah sama ada secara terbuka atau tertutup. Keberanian ini juga barangkali didorong oleh kemudahan prasarana rangkaian dan medium komunikasi seperti email, sms, blog dan  media sosial lain yang ada.

Mereka sudah begitu peka dan mahir dengan salah guna kuasa pengurusan sekolah, ketidakadilan dan berbagai-bagai kelemahan lagi sehingga akhirnya mereka menemui saluran meluahkan segala ketidakpuasan hati mereka ke peringkat pengurusan tertinggi organisasi. Aduan mereka tidak kira dalam apa-apa bentuk sekalipun WAJIB disiasat. Tidak seperti dahulu mungkin dibiarkan atau dibakulsampahkan. Zaman "bos always right" sudah berlalu.

Persoalannya adakah mereka yang tergolong dalam kumpulan pengurusan ini peka dengan situasi dan perubahan ini. Atau mereka masih mengamal budaya lama dengan memekakkan telinga dan berterusan dengan stail feudal mengurus organisasi sekolah. Jikalau mereka peka pastinya aduan tentang pengurusan sekolah tidak akan meningkat dari semasa ke semasa. Sebagai pegawai penyiasat aduan saya tahu apa-apa yang berlaku kerana aduan-aduan tentang pengurusan akan sampai ke meja saya. Kadang-kadang saya bertanya pada diri sendiri, adakah rakan-rakan saya pengurus sekolah tidak peka dengan perinsip bahawa apa-apa yang mereka cakap, buat dan lakukan sentiasa dilihat bukan sahaja diperhati oleh Allah tetapi juga manusia di sekeliling mereka.

Kalau mereka peka mereka tidak sewenangnya datang dan balik sesuka hati kerana guru tahu waktu bekerja Guru Besar adalah lapan jam sehari kerana Guru Besar menerima cuti tahunan 35 hari setahun. Ada seribu satu macam aduan tentang mereka. Ada Guru Besar nampak teliti sangat jaga prosedur kewangan tetapi  membuat tuntutan terhadap program yang tidak dilaksanakanpun. Apakah mereka menganggap Guru Penolong Kanan dan guru yang ada tidak tahu dan boleh disembunyikan. Adakah Guru Besar lupa dalam borang pemantauan pengurusan sekolah kita minta laporan aktiviti dari setiap GPK dengan aviden sekali. Bagaimana mereka hendak sediakan aviden jika program tiada tapi duit sekolah dibelanjakan.

Kita juga menerima aduan tentang sikap dan tutur kata Guru Besar yang mereka anggap sombong, kasar dan tidak bertamadun sama ada dengan murid atau guru. Hati mereka terguris dengan diksi dan frasa yang kita gunakan. Mungkin kita tidak sedar tapi kita kena peka. Zaman maki hamun dan herdikan sudah kurang sesuai. Kita telahpun belajar teori komunikasi berkesan maka amalkan agar kebiasaan yang kurang sesuai itu berubah menjadi kebiasaan yang  betul. Kita perlu sedar kebijaksanaan dan seni komunikasi adalah alat memikat dan menakluk minda, jiwa dan hati anak buah kita. Kadang-kadang bunyi sangat lembut namun kesannya mendalam menikam di jiwa.

Sememangnya semua orang sedar kita raja di sekolah. Namun kita juga harus sedar 'raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Kadang-kadang kita sewenang menentu jadual aktiviti sekolah mengikut jadual aktiviti peribadi kita. Kalau kita bercuti keluar negara maka program yang dah dirancang dalam kalender dibatalkan. Ada guru termasuk GPK sendiri sangat berasa hati dengan prestasi yang diberi tidak lebih 85% pun untuk sebuah sekolah. Ada laporan yang sampai Guru Besar kaki pinjam dan sapu duit, tidak sebulu dengan PIBG dan bermacam-macam lagi..

Situasi tidak peka dan pekak pada persekitaran inilah menyebabkan imej kita sebagai Guru Besar tercalar. Mungkin yang terlibat hanya satu dua orang tetapi ia cukup untuk menyebabkan integriti kita diragui dan dipersoalkan sehingga mencemar nama baik panel pemilih jabatan yang memilih kita. Kita yakin jika Guru Besar melaksanakan kerjanya yang betul dengan betul termasuk komunikasinya dengan berhemah walaupun ada juga aduan Guru Besar tidak perlu risau. Guru Besar mesti memainkan peranan mereka sebagai guru besar. Membiarkan guru bermasalah tanpa apa-apa tindakan juga dipersoalkan orang sebagai lemah dan tidak berwibawa.

Kita sangat-sangat berharap pengurus sekolah sensitif dengan perkara ini dan berharap MGB Daerah dan Negeri sentiasa menyedarkan dan memberi bimbingan serta nasihat kepada ahli-ahli mereka yang masih memekakkan telinga untuk berubah. Kita mempunyai ramai kalangan Guru Besar yang hebat dan berwibawa yang boleh menjadi mentor kepada segelintir ini. Ingatlah dalam banyak hal kita menjadi susah dan sukar bukan kerana orang lain tetapi kerana kita menzalimi diri kita sendiri


2 comments:

  1. SYABAS! Sebuah penulisan yang amat mengagumkan. Berani,telus dan luahan ikhlas yang patut dihargai oleh kami(golongan guru biasa).

    Pada pendapat saya(guru biasa),apa yang telah berlaku pada zaman ini, masalah seperti golongan Guru Besar(GB) yang menyalahgunakan kuasa dan bersikap tidak profesional dalam menjalankan tugas adalah berpunca daripada Sistem Pemilihan Penjawatan GB yang perlu dirombak semula. Ramai golongan GB sekadar dipilih berdasarkan kenaikan pangkat daripada jawatan Guru Penolong Kanan(GPK) dengan prestasi yang sederhana dan kadangkala mempunyai "link/kabel" dengan pihak panel pemilihan. Ini menjadi punca terdapat sebilangan GB yang bersikap tidak profesional! Sepatutnya, kalangan penjawat jawatan GB ini perlu dipilih berdasarkan temuduga serta beberapa lagi alat/instrumen yang bersesuaian untuk menjamin kualiti sama ada seseorang GB tersebut benar-benar layak/kompeten.

    Oleh itu,jika cara pemilihan lama ini masih berlanjutan, saya pasti sampai bila-bila pun masalah-masalah pengurusan seperti yang dinyatakan akan terus timbul dan tiada kesudahannya.

    Sekadar pandangan, haraf maaf.
    Guru KECIL...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas pandangan tuan. Untuk makluman tuan dalam Gelombang 1, PPPM calon GB / Pengetua disyarat wajib lulus:

    1. NPQEL
    2. Lulus Tahap High Performance Ujian Bersepadu yang menggantikan PTK
    3. Markah prestasi dicadang sekurangnya 85%
    4. Menghadiri Program Simulasi IAB
    5. Ditempatkan secara sandaran sebulan lebih awal dari tempoh pengisian
    6. Disahkan sihat

    Itu antara syarat baru yang bakal dilaksanakan. Bermakna yang benar-benar hebat sahaja yang bakal dilantik. Insyaallah tunggulah.

    ReplyDelete