Tuhan menjadikan kehidupan kita di dunia ini dari yang sekecil hingga sebesarnya secara berpasangan. Sama ada kita sedar atau tidak itulah hakikatnya. Dari cas-cas positif dan negatif yang kita tidak nampak hingga kepada langit dan bumi adalah pasangan serasi yang telah ditentukan. Begitulah juga niat, sifat dan tabiat ada pasangannya. Rajin pasangan malas, niat baik pasangannya niat buruk dan berbagai lagi kalau kita perhati dan fikirkan semua itu ada hikmahnya tersendiri.
Kita sering mendengar orang tua-tua berpesan jika kita melakukan sesuatu itu tekal selama 40 hari maka ianya akan lekat menjadi tabiat dan amalan yang kekal dengan diri kita. Ini bermakna bahawa kita sebenarnya diberi Allah akal untuk memilih, melatih dan membina amalan yang sewajarnya dengan sifat dan kemenjadian diri yang disebut dalam Surat At-Tin, ayat 4, " Sesungguhnya kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian,lengkap dengan segala sesuatu". Namun berapa ramai manusia yang sedar perkara berkenaan kerana kadangnya tingkahlaku mereka jauh tersasar dari sifat kemuliaan itu.
Sebagai pendidik atau guru sebahagian tugas besar kita adalah mendidik nilai untuk pelajar kita serta memperbetulkan amalan-amalan serta pegangan yang bertentangan dengan fitrah kemuliaan itu. Kita mahu mereka membiasakan amalan-amalan yang betul dan membetulkan amalan yang biasa mereka buat hari-hari. Proses pembetulan ini akan hanya lebih berkesan dan bermakna jika guru sendiri berupaya menunjukkan contoh yang baik. Banyak perumpamaan yang menunjukkan besarnya kesan didikan guru terhadap tingkah laku dan amalan pelajar. Kita mungkin seringkali mendengar "Bila guru kencing berdiri, murid kencing berlari" adalah bukti tentang pengaruh itu.
Kita kadang-kadang malu untuk memberi salam jika bertemu rakan atau pelajar kita. Sedangkan memberi salam itu satu doa dan amalan biasa yang betul. Mengapa kita tidak membiasa dan membudayakan amalan ini dalam kehidupan kita. Mengapa kita tidak membiasakan amalan "terima kasih" hinggakan perlu dibuat kempen besar-besaran. Begitu juga mengapa kita tidak membiasakan menulis minit mesyuarat dengan kemas dan betul ? Ini kerja biasa kita. Begitu juga mengapa kita tidak menulis buku persediaan mengajar dengan kemas dan jelas. Ini rutin biasa kita. Ohhh banyak lagi rutin biasa yang betul dan baik kita cincaikan, kita selekahkan, kita remehkan hingga kadang-kadang seri dan hebatnya kita hilang kerana benda-benda kecil itu. Tanpa kita sedar benda-benda kecil inilah yang membangunkan perkara besar. Justru itu jangan lupa membiasakan diri dengan perkara-perkara yang betul hingga tekal menjadi tiabat, amalan dan diri kita.
Sebaliknya pula banyak amalan-amalan salah yang menjadi keselesaan dan kebiasaan pada setengah kita. Kadang-kadang sekolah menjadi "pusat jualan" tersembunyi dengan pelbagai barang dari perhiasan diri hingga bahan binaan ada dijual. Bukan satu dua usahawan sambilan yang ada tapi ramai. Tidak ada siapa larang dan rasa bersalah kerana telah menjadi amalan biasa mereka. Begitu juga ada jenis yang suka keluar sekolah atau pejabat masa bekerja. Kadang-kadang urusan itu kecil dan boleh diselesaikan selepas waktu .Namun kerana sudah terbiasa dengan tabiat dan amalan berkenaan maka perkara itu menjadi tabiat dan amalan yang dianggap betul. Begitulah juga dengan orang yang menerima rasuah. Apabila dalam hatinya sudah tidak ada rasa bersalah maka rasuah adalah kebiasaan dan keperluan. Justru itu kita mesti membetulkan amalan salah yang telah menjadi kebiasaan kita.
Amalan-amalan salah yang telah dibiasakan dan dianggap betul banyak berlaku dalam amalan pendidikan kita. Kadang guru memanggil dan memberi gelaran macam-macam kepada murid dan gelaran itu kekal sepanjang zaman. Pernahkah kita bertanya perasaan murid yang mendapat "anugerah" kita itu. Adalah juga yang terbiasa dengan panggilan kasar seperti memaki-hamun dengan memanggil murid "tengkorak kau" dan sebagainya hingga menjadi biasa. Akhirnya kebiasaan itu kembali kepada kita sendiri.. Cikgu mana ? Cikgu Tengkorak tu...
Sesungguhnya kebiasaan yang betul perlu kita ketengahkan dan mengubah kebiasaan yang salah kepada yang betul mampu kita lakukan. Orang kata hendak seribu daya mahu seribu cara. Kadang-kadang untuk menjadi guru yang lebih baik dan hebat kita perlu berintrospeksi, bermuhasabah dan berani melakukan tranformasi diri dengan membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa.
No comments:
Post a Comment