Tuesday, February 26, 2013

Sarana Ibu Bapa Dan Sekolah Berperanan Menambah Baik Mutu Persekolahan Negara



KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, iaitu Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan semalam, bakal berperanan menambah baik prestasi akademik sekolah serta mempergiatkan lagi aktiviti di luar bilik darjah pada masa depan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah yang berkesan dan ini sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Pendidikan.

"Konsep Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah seumpama ini telah lama dijalankan di negara maju dalam memastikan taraf pencapaian akademik dan prasarana (kemudahan) sekolah mencapai standard yang baik serta membantu mendapat bantuan kewangan daripada pihak swasta dalam pelbagai akitiviti sekolah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semalam.

Inisiatif Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah itu terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Sarana Ibu Bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

Mohamad Ali berkata selain ibu bapa dan guru, pembabitan masyarakat setempat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta juga diperlukan dalam menghulurkan bantuan dari sudut luahan idea, pendapat dan bantuan kewangan.

"GLC dan pihak swasta dapat memberi bantuan kepada kumpulan sokongan ini dengan menambah baik kemudahan sekolah, menganjurkan sesi motivasi oleh penceramah berpengalaman, membantu mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sebagainya," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata NUTP menyambut baik kewujudan kumpulan sokongan itu dapat membantu pihak sekolah dalam mengurangkan beban guru seperti mengisi tabung PIBG, memperbaiki tahap pencapaian pelajar dalam akademik dan sukan dan meningkatkan kehadiran ibu dan bapa dalam mesyuarat PIBG setiap tahun.

"Langkah kementerian ini merupakan antara jalan penyelesaian dalam mengimbangi jurang perbezaan dalam pencapaian akademik pelajar dan kemudahan sekolah di bandar dan di luar bandar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran perlu menyediakan garis panduan yang jelas mengenai kumpulan sokongan berkenaan dan mengadakan perjumpaan membabitkan wakil kementerian, NUTP dan PIBGN untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat demi memastikan inisiatif itu berjalan dengan baik.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment