Friday, February 22, 2013

Renungan Jumaat : Toleransinya terhadap sesuatu yang dibencinya



Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang berwatak lemah lembut pada segala hal, lemah lembut lahir dan batin. Mudah diketahui pada raut wajahnya ketika Baginda sedang marah ataupun sedang redha. Meskipun demikian, Baginda tetap tidak suka menampakkan sikap kebenciannya kepada seseorang secara terus terang.

Pernah berlaku pada suatu ketika bahawa seorang Arab dusun kencing di dalam masjid di hadapan majlis Rasulullah s.a.w. maka para sahabat segera mendapatkan orang itu untuk melakukan kekerasan terhadapnya. Tetapi Rasulullah s.a.w. segera menghalang mereka dengan berkata: "Janganlah putuskan kencingnya" (yakni: biarlah ia kencing hingga selesai).

Sesudah itu, Baginda bersabda kepadanya: "Dalam masjid-masjid serupa ini tidak boleh dibuat sesuatu semacam itu".

Merujuk kepada peristiwa itu, cuba kita muhasabah diri kita selaku umatnya dan sebagai guru (muadib) selaku pewarisnya mendidik anak-anak yang naif dan tidak tahu banyak perkara . Bukan sahaja kesilapan yang dilakukan murid dihukum tidak setimpal bahkan dimarah dengan ucapan yang kadangnya menyimpang jauh dari mendidik.

Begitu juga dalam kehidupan masyarakat kita. Di mana ada segelintir daripada kita yang tidak sebulu dan selari dengan faham ilmu mereka  akan dianggap jahil, dikutuk, dicerca, dihina walaupun dalam kelompok berbangsa dan beragama seperti mereka. Bahkan kata-kata nista itu seperti makanan ruji bagi batin dan jiwa mereka. Tentunya ia tidak selari dengan akhlak dan sifat toleransi yang ada pada Rasulullah s.a.w

Marilah kita bermuhasabah diri dan menghayati mutiara akhlak Rasulullah s.a.w sebagai amalan dan sunah kehidupan kita supaya selari dengan sunatullah. 


No comments:

Post a Comment