Saturday, February 16, 2013

Guru Perlu Bersiap Siaga Tinggi, Terus Tingkat Kualiti Pendidikan - Muhyiddin



ALOR SETAR, 16 Feb (Bernama) -- Guru harus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk terus meningkatkan tahap serta kualiti pendidikan ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata guru juga harus mempunyai semangat patriotisme, profesionalisme dan mempunyai iltizam yang tinggi sehingga ke peringkat persaraan wajib dalam menjana modal insan negara yang berkualiti.

"Hakikatnya untuk tempoh 12 tahun akan datang, guru sebagai ejen pelaksana utama perlu berada di tahap siap siaga yang tinggi berlandaskan komitmen, kesungguhan dan kesediaan untuk bekerja dengan tekun dan ikhlas untuk membina negara bangsa yang maju.

"Dalam konteks yang lain, para guru perlu bersedia mengubah cara bekerja yang lebih efektif dan tersusun. Guru muda harus mengambil peluang menimba pengalaman daripada guru-guru senior supaya lebih cekap dan kalau boleh lebih baik lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata setiap warga pendidik khususnya guru muda juga harus memikirkan dan memastikan bahawa setiap tindakan yang dilakukan selari dengan matlamat ditetapkan dalam dasar pendidikan negara.

Katanya dalam 100 hari pertama tahun ini, empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sedang dilaksanakan melibatkan bimbingan untuk guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik; menilai lebih 70,000 guru opsyen Bahasa Inggeris melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT); mengaktifkan penglibatan ibu bapa dan melancarkan e-video tentang amalan pengajaran cemerlang di bilik darjah.

"Di samping empat inisitif itu, kementerian tidak mengenepikan inisitif yang harus dicapai dalam gelombang pertama untuk 2013 ini, khususnya dalam usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, yang ini akan dilaksanakan untuk murid-murid seluruh negara," katanya.

Beliau berkata isu seperti rungutan dan keluh kesah dalam kalangan warga pendidik khususnya guru muda dalam menghadapi cabaran profesion perguruan juga harus dielakkan.

Katanya warga pendidik perlu dilihat sentiasa sempurna di hadapan anak didik walaupun mereka hakikatnya hanyalah manusia biasa.

"Usaha untuk merealisasikan agenda transformasi pendidikan negara ini amat memerlukan kerjasama yang padu, pemikiran yang inovatif dan kreatif dan tindakan yang utuh daripada kalangan warga pendidikan secara menyeluruh dan tidak seorang pun warga pendidik tertinggal untuk menggalas peranan utama untuk menjayakannya," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata kerajaan sedar bahawa sesuatu sistem memerlukan tempoh agak panjang untuk mencapai matlamat dan melihat hasilnya.

Katanya di negara-negara berjaya proses tranformasi pendidikan untuk meningkatkan kualiti ke tahap terbaik mengambil masa 20 hingga 25 tahun.

"Jika kita tidak bergerak sekarang, sampai bilapun tak capai tahap yang kita impikan. Satu langkah yang berani, tegas dan pantas, mentransformasi sistem pendidikan ke satu arah lebih baik harus dilakukan sekarang.

"Apa yang dirancang tidak akan berjaya jika peringkat pelaksana tidak memainkan peranan dan memikul bersama tanggungjawab itu," katanya.

Hadir sama isteri Muhyiddin Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment