Friday, February 8, 2013

Ibu risau anak kurang cemerlang



Saya ibu yang berkerjaya, mempunyai dua anak berusia 13 dan 14 tahun. Masalahnya, saya tidak tahu bagaimana mahu menjadikan anak saya cemerlang dalam akademik mereka.

Saya menghantar mereka ke kelas tambahan serta sentiasa memantau kerja sekolah mereka. Dari segi perlakuan, mereka tiada masalah dan diakui anak yang baik, mendengar kata dan tidak suka membantah kata-kata ibu bapa. 

Mereka juga mempunyai inisiatif tinggi untuk berjaya. Setiap kali kami makan bersama, saya dan suami memotivasikan mereka untuk rajin belajar dan menasihatkan supaya jangan lupa menunaikan solat.

Saya juga sering meng­ingati mereka supaya buat kerja sekolah dan belajar rajin-rajin. Saya pastikan mereka mengulang kaji pelajaran. Saya sering beritahu, kalau ingin menjadi seorang yang berjaya dan inginkan kehidupan senang, pelajaran adalah kunci paling utama.


Saya dan suami sering runsing setiap kali peperiksaan kerana anak-anak saya hanya mampu memperoleh markah pertengahan iaitu sekitar 50 ke 60 peratus saja. Sedangkan kami mengharapkan mereka mendapat markah 90 ke atas.


Saya buntu apakah lagi bantuan yang harus diberikan agar anak-anak ini lebih cemerlang. Saya harap Dr dapat memberi tunjuk ajar supaya dapat mendidik anak-anak menjadi cemerlang dalam pelajaran.

Ibu Runsing,
Selangor

 
Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha puan dan suami berterusan mendidik anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak salah satu anugerah terindah daripada Allah SWT kepada mereka yang bergelar ibu bapa.

Saya gembira puan dan suami sedar bahawa anugerah ini datang dengan satu tang­gungjawab yang besar iaitu tanggungjawab untuk mendidik dan membentuk anak menjadi insan berguna dan cemerlang.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik manusia antara kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat pada orang lain.” (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim) 

Saya lihat puan bijak membahagikan masa. Walaupun berkerjaya, puan dapat memantau pendidikan anak-anak. Anak ibarat kain putih, ibu bapa dan orang yang sekeliling­nya yang mencorakkan anak itu agar akhirnya menjadi kain yang bermacam-macam coraknya.

Secara psikologinya, keprihatinan puan dan suami dengan anak-anak memberikan sentuhan emosi yang bukan kecil nilainya.

Puan bertuah mempu­nyai anak yang baik dan berpotensi besar untuk berjaya.
Seperti puan katakan, mereka mendengar kata. Sifat positif mereka boleh puan gilap supaya menjadi lebih cemerlang dari aspek emosi, akademik dan kerohanian.

Jelasnya, puan dan suami sudah dan sedang melakukan segala yang termampu untuk menjadi ibu bapa mithali. Tahniah dan terima kasih atas usaha murni itu.

Setiap anak mempunyai keunikan dan potensi tertentu. Perkembangan kanak-kanak juga berbeza antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain.

Terdapat banyak aspek yang memungkinkan perkembangan kanak-kanak itu berlaku sama ada dari aspek fizikal, kognitif, sosial, emosi dan moral.

Ada kanak-kanak yang lebih cepat matang berbanding rakannya. Perbezaan perkembangan ini membuatkan ibu bapa perlu memberi ruang untuk anak-anak mereka berkembang mengikut tahap tersendiri.

Usah memaksa individu untuk berkembang bukan pada tahapnya akan membantutkan perkembangan diri.

Dewasa ini, banyak panduan sama ada dalam bentuk buku, laman web, ceramah motivasi berkaitan tajuk meningkatkan perkembangan kognitif atau bagaimana meningkat­kan pencapaian akademik kanak-kanak atau remaja. Puan boleh merujuk kepada bahan-bahan ini.

Antara petua memotivasikan anak ialah jadi pendengar yang setia dan bersikap jujur kepada mereka. Seperti yang puan lakukan, peruntukkan masa berkualiti untuk bersama anak.

Jangan lupa berikan penghargaan setiap kali anak melakukan perbuatan baik. Banyak petua dan doa dari sudut agama yang boleh puan amalkan dalam meningkatkan perkembangan akademik mereka.

Begitu juga daripada rahsia pemakanan ilmuwan Islam seperti madu, kismis, susu segar, telur, halia dan buah delima. Setiap satunya mempunyai khasiat masing-masing. Puan boleh mencuba cara pemakanan ilmuwan Islam ini untuk anak-anak.

Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pernah menyeru ibu bapa supaya tidak berputus asa dalam memberi motivasi dan galakan kepada anak masing-masing. Islam juga meminta umatnya supaya tidak mempunyai sikap putus asa terhadap rahmat Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf: 87)

Puan, mencipta kecemerlangan anak adalah tugas mulia ibu bapa. Mendidik anak sehingga berjaya adalah satu proses yang panjang. Proses mendidik ini memerlukan ketekunan dan kekuatan kesabaran daripada ibu bapa. Sebab itu, dalam melukis masa depan anak, tiga bekalan yang tidak boleh ditinggal­kan iaitu sabar, sabar dan sabar.

Saya mendoakan yang terbaik untuk puan dan suami serta sentiasa terus berusaha mendidik anak-anak ke tahap tertinggi akademik mereka.

Dr Sapora Sipon
Pakar Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

3 comments:

  1. Atas sebab yang sama,Band bagi pelajar bawah KSSR jangan dipersoal jika Band 1 hingga bulan Jun kerana perkembangan setiap murid tidak sama,tidak boleh dipaksakan,nanti terbantut.....

    ReplyDelete
  2. selama ini tahap cemerlang murid hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. akibatnya minda masyarakat telah dididik sebegitu.sedangkan setiap insan dilahirkan dengan kepandaian yang berbeza hinggakan ramai antara kita mengabaikan aspek kecerdasan lain yang ada dalam diri anak-anak.sudah tiba masa kita transformasikan minda kita.

    ReplyDelete
  3. ibubapa ini mempunyai harapan yg terlalu tinggi tanpa melihat kemampuan anaknya.aspek kelemahan penguasaan kemahiran kena juga tengok.kejayaan juga bukan dilihat kepada markah 90.
    deng

    ReplyDelete