Hari Kemerdekaan
menjadi hari paling berharga dan bersejarah
bagi setiap negara, termasuk Malaysia.Alhamdulillah hari ini kita sekali
dapat merayakan hari ulang tahun kemerdekaan Negara kita yang ke 55 bertemakan
1Malaysa Janji Ditepati.
Maha Suci Allah menganugerahi umat manusia di seantero
dunia ini dengan nikmat kemerdekaan dan kebebasan agar kita menjadi umat yang
bertakwa, yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.
Sekiranya kita menyedari hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap
kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan
nikmat Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah mereka, wahai Muhammad) ketika Nabi Musa berkata kepada
kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu
ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu seorang Nabi, dan Dia menjadikan kamu
bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang- orangnya) dan Dia
memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun
daripada umat-umat (yang ada pada masa itu).” (Surah al-Maidah: 20)
Inti pati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru
bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t
supaya kita yang hidup zaman ini memperbaiki diri dan mempergunakan kebebasan
kita secara bijak dan wajar daripada penjajahan mental dan moral.
“Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum kepada keadaan yang lebih baik daripada
sebelumnya jika mereka tidak mahu berusaha mengubah keadaan yang ada pada diri
mereka sendiri” (maksud al-Quran, surah al-Rad ayat 11).
Kita wajar menempatkan diri kita sesuai dengan kemampuan
dan keahlian masing- masing. Manakala, bagi generasi muda, dituntut
meningkatkan ilmu pengetahuan sebagai bekalan bagi mempertahan dan
memperkasakan kemajuan yang ada, di samping meningkatkan pembangunan bangsa dan
negara pada masa hadapan. Rasulullah s.a.w mentamsil para pemilik ilmu (orang
yang berilmu) seperti lembah yang dapat menampung air yang bermanfaat terhadap
alam sekitar.
Dalam konteks kesyukuran terhadap nikmat Allah ini,
secara realitinya kita dapat bandingkan dengan negara-negara lain di dunia yang
sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman seperti bencana banjir, gempa bumi,
kemarau, runtuhan salji, letupan gunung berapi, peperangan, kelaparan serta
kemiskinan.
Oleh demikian, kita sepatutnya memetik gugusan hikmah
tersebut agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri nikmat keamanan,
kekayaan, dan kedamaian yang dilimpah dan dianugerahkan kepada negara kita ini
dan seterusnya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.
Mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak mengkufurinya
bererti kita mengisi dan memaknakan kemerdekaan ini dengan segala usaha yang berpaksikan
keadilan bagi menuju kemajuan. Ini sesuai dengan cita-cita kemerdekaan yang
sebenar-benarnya, iaitu mewujudkan negara yang berdaulat dan makmur dalam
limpahan rahmat dan keredaan Allah s.w.t. Kini kita hidup dalam suasana
kemerdekaan, dan hakikatnya nasib kita berada di tangan kita sendiri.
Oleh demikian, sebagai pewaris kemerdekaan, kita memiliki
tanggungjawab untuk memupuk subur dan memeliharanya agar obor kemerdekaan yang
dinyalakan oleh para pejuang terdahulu tidak menjadi pudar. Caranya ialah turut
mengisi dan memaknakan kemerdekaan dengan melakukan kerja-kerja yang bermanfaat
dalam melestarikan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani sebagai mana yang
digariskan dalam wawasan negara.
Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi, dan kebebasan
rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi negara ini merupakan anugerah
Allah s.w.t yang tidak ternilai dan kita wajib bersyukur.
Antara Islam dan syukur itu, terjalin hubungan yang tidak
mungkin terpisah. Dapat disimpulkan bahawa kedua-duanya merupakan dua sisi
daripada sekeping syiling atau sehelai wang kertas.
Memang sewajarnya setiap Muslim wajib mensyukuri nikmat
yang telah diterima daripada Maha Pencipta dan kemerdekaan adalah antara nikmat
yang amat berharga dalam suasana dan wajah dunia yang seringkali tercalar oleh
kekejaman sesama manusia, keserakahan perebutan kuasa, dan berleluasanya
penjajahan minda.