Tuesday, August 21, 2012

Penambahbaikkan drastik pendidikan


PAGOH: Sistem pendidikan negara akan mengalami penambahbaikan drastik dalam tempoh 13 tahun akan datang dalam usaha menjadikan Malaysia antara negara dengan sistem pendidikan terbaik dunia pada 2025.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan memberikan tumpuan kepada sistem itu melalui tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan tempoh tiga tahun dan fasa seterusnya, masing-masing lima tahun.
Beliau berkata, kajian mengenai penambahbaikan sistem pendidikan negara yang dilaksanakan sejak tiga bulan lalu, antara lain menyentuh pendidikan Inggeris, Matematik dan Sains, peranan besar ibu bapa dalam pendidikan selain penstrukturan semula Kementerian Pelajaran serta Pejabat Pelajaran Daerah.

Dialog lebih tiga bulan sudah selesai, semua negeri sudah dilawati dan kita juga mengumpul beratus-ratus cadangan menerusinya, katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri beliau dan isteri, Puan Sri Nooraniee Abdul Rahman di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam.

Katanya, menerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, cadangan daripada individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak lain akan diserahkan Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin kepada Kementerian Pelajaran dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, Perdana Menteri akan melancarkan rangka kerja mengenai cadangan itu 11 September ini yang akan menitikberatkan pendidikan berkualiti untuk dipertontonkan kepada orang ramai yang kemudian boleh memberi pandangan sebelum ia dibawa untuk kelulusan Kabinet, hujung tahun ini,

Badan pengurusan akan melakukan kajian sebelum penemuan itu dikemukakan pada majlis pelancaran nanti. Ada anjakan besar pada masa akan datang. Ada beberapa lagi penambahbaikan akan dilakukan selepas kandungannya dipertontonkan kepada orang ramai, katanya.

Muhyiddin memberi contoh, Pejabat Pelajaran Daerah hanya melakukan pemantauan, namun selepas ini ia perlu menjalankan tugas lebih besar untuk meningkatkan prestasi sekolah di bawah seliaan masing-masing.

Menerusi fasa pertama, kita akan lihat apa yang perlu dilaksanakan termasuk soal struktur serta kewangan. Mungkin ada subjek baru seperti kesusasteraan Inggeris kerana cadangan itu agak munasabah, menggalakkan pelajar berkomunikasi seterusnya menambah keupayaan bahasa Inggeris, katanya.

Sumber : Berita Harian Online


No comments:

Post a Comment