Monday, August 6, 2012

11,000 guru J-Qaf masih diperlukan


Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran masih mengalami kekurangan 11,000 guru bagi mengajar subjek J-Qaf (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardhu Ain) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kekurangan itu memaksa pengajaran mata pelajaran berkenaan yang dijadualkan dilaksana di sekolah menengah mulai tahun depan terpaksa ditangguhkan.

Katanya, antara punca termasuk kurangnya bekalan guru berijazah untuk mengajar J-Qaf serta masalah permohonan perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang masih tidak diluluskan sehingga kini.

“Jadi, kita minta JPA percepatkan kelulusan perjawatan (guru J-Qaf) dimohon kementerian membolehkan kekurangan itu diisi segera.

“Sekarang ini kita tumpu untuk penuhi permintaan guru J-Qaf di sekolah rendah sebelum melaksanakan sepenuhnya di sekolah menengah,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, Kampung Batu Muda di sini, semalam. 

Pada majlis itu, Mohd Puad turut menyampaikan sumbangan kepada 60 asnaf termasuk anak yatim terdiri dikalangan pelajar sekolah berkenaan serta masyarakat setempat.

Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program perintis j-Qaf menengah dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah.

Muhyiddin dilaporkan berkata, pelaksanaan J-Qaf di 4,747 sekolah rendah sejak 2005 berkesan apabila 94 peratus murid menguasai empat kemahiran iaitu Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.

Sumber : Berita Harian Online 


0 ulasan:

Post a Comment