UJIAN Allah datang dalam pelbagai bentuk adakalanya
kesakitan
atau kemiskinan, namun jangan lupa kemewahan juga satu ujian
Allah. - Gambar hiasan
PUASA merupakan ujian untuk kita.
Kita diuji dengan banyak perkara. Kita diuji agar tidak menurut hawa nafsu dan
perasaan kita.
Kita dihalang daripada melakukan
apa yang kita suka. Kita diminta untuk berkorban. Sepatutnya, puasa ini juga
menjadi medan untuk kita bermuhasabah diri bahawa kehidupan kita ini adalah
satu ujian.
Dalam kehidupan kita, adakah
setiap hari yang dilalui membahagiakan? Atau mungkin juga kita merasakan diri
kita terlalu malang apabila ditimpa musibah yang tak kunjung padam.
Hakikatnya, hidup kita mungkin
membahagiakan. Bagaimanapun, kerana ada sesekali kita ditimpa kecewa, kita
merasakan bahawa kita satu-satunya individu yang dipilih untuk menanggung ujian
yang teruk.
Malah, kita memadamkan semua cerita
bahagia yang berlaku sepanjang hidup kita.
Orang yang lambat berkahwin
misalnya, merasakan bahawa merekalah manusia paling kecewa. Mereka yang tidak
mampu memiliki kebahagiaan berkeluarga seperti orang lain.
Ini membuatkan kita jarang
memerhatikan bahawa mereka yang berkeluarga juga adakalanya sedang ditimpa
dengan banyak musibah, misalnya perceraian atau keluarga yang berpecah-belah.
Sebenarnya, inilah yang selalu
berlaku dalam kehidupan manusia. Kita membandingkan diri kita dengan orang lain
yang lebih baik. Jarang kita merenung ke dalam diri melihat kelebihan yang kita
miliki.
Ini telah menyebabkan kita
melupakan kebahagiaan yang dimiliki. Pemikiran kita mencari alasan untuk
menyatakan bahawa kitalah manusia yang paling mengecewakan.
Puasa sepatutnya mampu membuka
ruang untuk kita berfikir bahawa setiap hari kita sebenarnya sedang diuji.
Tidak semestinya dalam bentuk
musibah kerana ujian juga adakalanya dalam bentuk nikmat yang membahagiakan. Ia
mungkin ujian yang lebih berat kerana kita mungkin tidak menyedarinya.
Katakan kita dianugerahkan dengan
kebahagiaan yang besar. Pernahkah kita merasa bahawa kita juga sedang diuji?
Ada segelintir orang kaya yang
terlupa haknya kepada orang miskin kerana mereka terlupa bahawa mereka juga
sedang diuji.
Ada yang berjaya dalam hidup
selalu melihat bahawa mereka yang gagal ialah mereka yang malas dan tidak
berusaha. Mereka yang berjaya dalam akademik pula adakalanya melihat orang lain
sebagai tidak rajin berusaha seperti mereka.
Hakikat yang jarang diambil tahu
bahawa kejayaan mereka itu mungkin satu ujian yang didatangkan dalam bentuk
yang lain.
Semua itu berlaku kerana manusia
selalu menganggap bahawa apa sahaja kejadian yang berlaku dalam diri manusia
ialah bersebab dengan konsep 'dunia ini adil'. Dalam kata lain, orang yang baik
akan diberikan kebaikan dan orang yang teruk akan dibalas seadanya.
Dalam psikologi, ada sekelompok
pengkaji berminat dengan topik beliefs in a just world. Kajian-kajian
mendapati, tatkala ada orang yang tidak percaya bahawa dunia ini adil, ada pula
yang mempercayai bahawa dunia ini adil.
Mereka yang percaya bahawa dunia
ini adil biasanya cenderung memberi alasan bahawa kegagalan seseorang itu
disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri.
Sebab itu, apabila ada yang yang
ditimpa dengan musibah contohnya diragut atau dirogol, kategori manusia yang
berpandangan bahawa dunia ini adil biasanya menyalahkan mangsa. Misalnya mangsa
telah membawa beg tangan yang mahal atau memakai pakaian yang seksi.
Sekiranya ada orang lain yang
sakit, mereka akan berpandangan bahawa mereka itu telah tidak menjaga
kesihatan.
Mereka jarang memikirkan bahawa
keburukan yang berlaku ke atas seseorang tidak semestinya kerana mereka telah
membuat perkara yang tidak betul.
Konsep dunia ini selalunya adil
telah menyebabkan manusia lambat memberi pertolongan kepada orang lain. Mereka
beranggapan musibah yang berlaku ke atas diri manusia semuanya perlu bersebab
dengan tindakan buruk individu itu sendiri.
Inilah hakikat dunia. Ada yang
diuji dengan musibah. Ada yang diduga dengan kebahagiaan.
Moga puasa ini membuka pintu hati
kita bermuhasabah dengan diri dan tidak selalu melihat orang lain daripada
sudut pandangan negatif.
Sumber : Kosmo online
Sumber : Kosmo online
No comments:
Post a Comment