Thursday, June 10, 2010

Usaha dipertingkat tambah bilangan guru-guru berkualiti

10/06/2010 1:54pm

KUALA LUMPUR 10 Jun – Perdana Menteri berkata, untuk meningkatkan lagi kualiti pelajar, nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan dari 28 peratus kepada 60
peratus.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti.
Katanya, bagi mencapai matlamat ini, program pensiswazahan guru akan dipergiatkan.

“Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada diploma dan sarjana muda.

“Kerajaan berhasrat menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang cemerlang,” tegas beliau.

Perdana Menteri berkata demikian semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina serta Sekolah Kebangsaan (SK), lulusan Unified Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki sijil SPM akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina.
Pertimbangan yang sama juga akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Tinggi Agama (STA) kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru program pendidikan agama Islam dan J-Qaf, tambah beliau.

Dalam aspek ini juga, katanya, kerajaan telah menubuhkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

“Sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka. Bilangan SBT akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012.

“Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh,” katanya lagi.

Najib turut mengumumkan, Sekolah Amanah, atau Trust Schools, akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih.

Sekolah-sekolah tersebut akan diberi autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar, katanya.

Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan, ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan sekolah.

“Bagi tujuan mengubah suai dan menaik taraf sekolah bantuan modal, peruntukan sebanyak RM280 juta akan disalurkan bagi tempoh 2011 dan 2012.

“Dengan ini, setiap satu kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh (mission schools) akan memperolehi peruntukan tambahan sebanyak RM70 juta setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012.

“Tambahan lagi, bagi membiayai pembayaran utiliti, kerajaan akan memberi bantuan
berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap sekolah bantuan modal.
“Peruntukan ini akan melibatkan hampir 1,900 buah sekolah bantuan modal,” jelas Perdana Menteri. – Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment