Thursday, June 3, 2010

Panggilan Pulau.....

Pada 2 Jun 2010 saya dan Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah bersama Jawatankuasa MGB Negeri Terengganu akan mengadakan Mesyuarat Pengurusan Sekolah dalam Siri Wacana Pengurusan serta meninjau secara dekat pengurusan dan kebajikan guru di SK Pulau Perhentian,Besut,Terengganu.

Kami bertolak pagi-pagi dari Kuala Terengganu ke jeti Kuala Besut sejauh 120 km.Lebih kurang jam 11.15 pagi kami bertolak dengan dua buah bot ke SK Pulau Perhentian. Selepas 20 minit kami telah tiba di jeti Pulau Perhentian dan dari situ kami telah melihat bangunan sekolah. Ini berbeza dengan SK Pulau Redang di mana sekolahnya terletak lebih kurang dua kilometer ke tengah daratan.

Rombongan kami di sambut oleh Guru Besar,SK Pulau Perhentian dan kami ditempatkan di bilik kelas yang diubahsuai sebagai asrama. Justru rumah guru yang baru dibina masih belum siap dan tempuh penyerahan tertunda-tunda maka semua guru SK Pulau Redang telah tinggal di kelas yang diubahsuai sebagai penginapan sementara.Kadang-kadang hati kecil terhiris dengan  sikap setengah kontraktor yang melihat projek dalam konteks keuntungan bukannya aspek kebajikan yang bersifat urgensi demi visi besar membina masa depan pewaris bangsa terutama anak-anak pulau di pedalaman.

Selepas solat Zohor dan makan tengahari kami telah memulakan Mesyuarat Pengurusan Sekolah. Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah dalam laporannya memaklumkan kedudukan perjawatan pengurusan,guru serta isu-isu hasil pemantauan pengurusan sekolah.Pertemuaan langsung antara MGB Negeri Terengganu dengan Pengurusan Unit Rendah sangat bermakna kerana banyak isu serta kekeliruan telah dapat dikelarai dan diselesaikan secara konsenses dan harmonis.Inilah antara salah faktor lonjakan prestasi pendidikan rendah negeri ini.

Petangnya selepas kami dibawa melawat ke beberapa lokasi untuk mandi dan melihat batu karang di sekitar pulau. Alangkah indahnya pulau kita. Pantai yang bersih dengan laut jernih mengamit ribuan pelancong seluruh dunia.Namun persoalan yang menjentik minda apakah masyarakat pulau sekadar menjadi penonton atau memanafaatkan peluang dan dalam keghairahan perubahan corak dan budaya baru bagaimana persediaan pendidikan untuk anak-anak ?Setakat ini kemajuan dan perubahan pesat pembangunan pulau belum seiring melonjak perubahan kesedaran pendidikan anak-anak.Kita bimbang tanpa persediaan yang cukup dan mantap anak-anak warisan bakal terperangkap dalam perubahan ini.

Pada sebelah malamnya saya dan Ketua Unit Rendah berpeluang bertemu semua murid Tahun  6 untuk memberikan semangat dan motivasi dengan harapan boleh membangkitkan kesedaran kendiri untuk bertindak dan berubah ke arah pencapaian pelajaran terutama UPSR agar lebih baik.Sementara MGB mengadakan bengkel  persediaan seminar MGB Negeri pada hujung bulan ini.Kami percaya anak-anak pulau mempunyai potensi dan memerlukan strategi serta kebijaksanaan pengurusan sekolah dan para guru mengeksplorasi potensi mereka. Kedudukan murid secara insitu,satu pertiga guru siswazah,95% guru berumur 45 tahun ke bawah dan kemudahan infastruktur sekolah mencukupi adalah antara kekuatan yang belum dioptimakan sepenuhnya.

Ini jelas dan nyata melalui tinjauan dan pertemuan khas dengan semua guru banyak peluang tidak dimanafaat secara optima dan berkesan. Pasukan pengurusan tidak berupaya memanipulasi rencam stail dan kepelbezaan latar pendidikan serta budaya guru ke arah  pembangunan pendidikan sekolah secara holistik. Kalau untuk kemajuan UPSR hanya beberapa sahaja yang terlibat ia menunjuk kegagalan untuk "share vision" secara berkesan dalam organisasi.Begitu juga jika tiada perancangan yang rapi dan jelas para guru seperti orang hanyut terdampar. Mereka menghitung hari hujung minggu untuk naik ke darat serta janji-janji untuk ditukar pulang secara belum pasti. Dalam ruang-ruang kosong yang panjang kerana tiada pengisian strategik memberi peluang berimegenasi dan recall segala kutukan rakan di daratan dan keseronokan di daratan yang boleh menyemarak perasaan kecewa dan celarunya emosi.

Justru barangkali sudah sampai masa beberapa pendekatan baru perlu dibuat agar apabila  seseorang guru meninggalkan sekolah pulau,peninggalan mereka penuh dengan legasi dan ingatan kepada pulau menjadi panggilan kenangan pengalaman terindah dalam kerjaya mereka:-
  • mengikis persepsi bahawa mereka yang dihantar mengajar sekolah di pulau bukan guru bermasalah dan sebagai hukuman
  • menghantar guru cemerlang mengajar di sana
  • memandatorikan bahawa setiap guru dari luar yang masih ke daerah berkenaan mesti mengajar di pulau sepertimana mereka yang masuk ke Kelantan mesti mengajar di hulu Kelantan
  • memberi penegasan bahawa sesiapa sahaja yang berada dalam daerah Kuala Terengganu dan Besut boleh ditukar dan ditempatkan sekolah di pulau kerana sekolah ini berada dalam daerah berkenaan.Oleh itu biar terpahat dibenak suatu ketika akan tiba masa untuk mengajar di sana
  • menguatkuasa arahan pertukaran apabila surat dikeluarkan 
  • membina kemudahan penginapan
  • penyediaan perancangan aktiviti persekolahan yang tersusun dan kemas agar masa dimanafaat secara optima
  • membina hubungan akram dengan komuniti setempat
  • kekerapan pegawai daripada ppd atau jpn melaksanakan pemantau dan program di sekolah pulau sebagai usaha sokongan dan kebajikan
Sebenarnya  bermacam perkara boleh dirancang dan dilaksanakan namun kunci bagi keberkesanan dan kejayaan adalah sikap kita. "Sikap" adalah tanggapan kita terhadap sesuatu. Jika tanggap kita bahawa mengajar di sekolah pulau adalah sebagai "buangan" ,berilah elaun beribu pun,kemudahan tempat tinggal umpama istanapun ia tidak akan memberi apa-apa makna kerana kita telah terperangkap dalam dunia gelap yang kita ciptakan sendiri....


No comments:

Post a Comment