Monday, June 21, 2010

Perasmian Seminar Memperkasakan Sekolah Kebangsaan MGB Terengganu

Majlis Guru Besar Negeri Terengganu sedang mengadakan Seminar Memperkasakan Sekolah Kebangsaan 2010 bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Marang, Terengganu. Seminar yang bermula 20 Jun 2010 akan berakhir pada 22 Jun 2010. Encik Razali bin Daud, Timbalan Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah menyampaikan Ucap Utama dalam slot awal seminar berkenaan.

Input perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Tuan Timbalan bertajuk ‘Guru Besar Tonggak Kelestarian Kecemerlangan’ banyak menyentuh secara tepat situasi semasa yang dihadapi oleh pemimpin sekolah. Sebagai pemimpin, seorang Guru Besar mesti melengkapkan dirinya dengan ilmu kepimpinan instruksional. Berkait dengan itu, Guru Besar semestinya boleh memahami dan mengendalikan pengurusan kurikulum dengan berkesan. Surat Pekeliling Ikhtisas, Surat Siaran atau Surat Arahan Tatacara yang berkaitan perlu diteliti oleh Guru Besar.

Sebagai pemimpin sekolah juga, Timbalan Pengarah mengingatkan kepada semua Guru Besar supaya sentiasa meningkatkan kualiti pendidikan dengan hasrat melahirkan manusia yang cemerlang. Di samping itu pemimpin sekolah juga perlu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan dan akhir sekali perlu memperkasakan kepimpinan diri sendiri. Dalam erti yang lain, seorang Guru Besar tidak boleh bersifat penakut untuk menegakkan suatu kebenaran.


Isu dan Cabaran Kepimpinan Sekolah

Dalam memastikan kelestarian pengurusan sekolah, seseorang Guru Besar akan berhadapan dengan isu-isu dan cabaran yang berbagai-bagai. Bagi menjadikan kepimpinan sentiasa relevan, Guru Besar perlu membina pasukan kerja yang mantap. Ini bagi memastikan wujud pengikut yang sedia menerima perubahan yang dibuat oleh Guru Besar. Dalam hal ini, Guru Besar perlu bijak menilai jenis guru (pengikut) yang ada di sekolah. Seterusnya Guru Besar perlu segera menterjemahkan Visi dan Misi kementerian, jabatan dan sekolah. Guru Besar tidak boleh berasa jemu melaksanakan kerja mengurus. Maksudnya perlu sentiasa mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dengan melakukan Quality Check Point (QCP) dan Quality Improvement Programe (QIP) secara berkala. Akhir sekali Guru Besar perlulah menghayati dengan penuh sedar dasar-dasar terkini kerajaan supaya nilai yang didokong oleh kepimpinannya sehasrat dengat kehendak pemimpin Negara.

Akhirnya timbalan menyampaikan saranan kepada semua Guru Besar supaya mengamalkan 5 prinsip dalam stail kepimpinan;

1. Strong work values of orientation
2. Exemplary Model
3. Encourage High Performance
4. Consistency of Reward System
5. Self Leadership of others supportive

Dicatat oleh : En.Kamal Abdullah,Penolong Pengarah,Pengurusan Guru

No comments:

Post a Comment