Wednesday, June 23, 2010

Ujian Khas ganti UPSR ke SBP?

PUTRAJAYA 22 Jun – Satu Ujian Khas mungkin bakal menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai penilaian untuk penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun ujian itu tidak akan diwajibkan kepada semua pelajar, bahkan diadakan untuk mereka yang berminat memilih sekolah tersebut bagi menyambung pelajaran di peringkat menengah.

“Mungkin Ujian Khas ini akan diselaraskan tetapi bukan dijadikan peperiksaan wajib sebagaimana yang pernah dibuat oleh Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

“Banyak juga kes pelajar yang mendapat 5A tetapi mereka tidak berminat memasuki sekolah berasrama penuh. “Bagaimanapun perkara ini masih di peringkat cadangan dan banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk memilih pelajar memasuki sekolah ini. Ia akan diumumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan RM130,199.70 untuk Asrama Anak Yatim Johor di Aceh, Indonesia sempena lawatan 37 anak yatim dan 12 guru dari asrama itu ke Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Sumbangan itu diterima daripada pelbagai badan korporat dan individu negara ini termasuk Kementerian Dalam Negeri dan sekolah-sekolah negeri Johor bagi pengurusan asrama itu yang dibina sejak empat tahun lalu akibat bencana tsunami.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, setakat ini kementerian menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk tokoh akademik tentang cadangan memansuhkan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi membolehkan satu sistem pendidikan secara holistik diadakan.

Di peringkat kementerian, katanya, kajian sudah dijalankan termasuk melihat kepentingan menjadikan vokasional sebagai sistem pendidikan arus perdana bagi mewujudkan sistem dua aliran iaitu akademik dan vokasional.

“Bagaimanapun, maklum balas daripada masyarakat cukup penting kerana pendidikan merupakan perkara dinamik yang perlu ditransformasikan berdasarkan kehendak semasa.
“Kementerian sudah menjalankan kajian kerana sistem pentadbiran sudah berubah sama ada kita mahu menggunakan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan ataupun sebaliknya,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment