Tuesday, June 29, 2010

Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Kali ke-16 Dan Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia kali ke-28


Bertempat di Hotel Heritage, Ipoh berlangsungnya  Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Kali ke-16 dan Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia kali ke-28. Semua negeri telah menghantar wakil ke konvensyen ini melalui perwakilan Majlis Guru Besar negeri berkenaan. YB Dr. Fuad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran telah menyempurnakan perasmian konvensyen yang bermula pada 27 hingga 30 Jun 2010 ini.
YB Dr. Fuad telah merakamkan penghargaan kepada Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) yang dilihat sehasrat dengan kepimpinan di KPM masa kini. Konvensyen yang bertemakan ‘Guru Besar Pembina Negara Bangsa’ diharap menjadi medan meningkatkan kualiti pendidikan Negara. Ini kerana masyarakat hari ini menuntut  KPM  mengutamakan pendidikan yang berkualiti.
Selain itu beliau juga mengharapkan konvensyen kali ini menjadi medan yang sihat untuk KPM menerima teguran, pandangan dan kritikan yang membina daripada GMGBM yang bergerak sebagai sebuah badan profesional.  KPM melihat GMGBM sebagai suatu penyumbang idea dan cadangan yang amat relevan.
Sesuai dengan peredaran masa kini, YB Dr. Fuad mengajak semua perwakilan membuat perubahan. Keberanian seorang Guru Besar untuk membuat perubahan menuntut individu itu mempunyai kredibiliti yang tinggi. Ini kerana menurut beliau, menjadi pemimpin pendidikan lebih sukar daripada menjadi pemimpin politik. Model pemimpin politik yang popular tidak boleh disamakan dengan model pemimpin pendidikan yang berkesan. Oleh itu beliau menyarankan pemimpin di sekolah, iaitu Guru Besar perlulah menjadi seorang pemimpin yang berkesan.
Sebelum itu, Y.Bhg. Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom, KPPM,  telah menyampaikan ucapan dalam slot perkongsian hasil lawatan KPM ke Sunbury Manor School, England. Beliau banyak menyentuh aspek kepimpinan pihak pengurusan sekolah dalam memastikan kejayaan sesebuah sekolah. Menurutnya, Guru Besar merupakan orang paling hadapan dalam lapangan pendidikan. Memetik kata-kata Peter Mortimore “Sekolah Cemerlang Dipimpin oleh Pengurus yang Cemerlang”, beliau amat percaya akan pengaruh kepimpinan seseorang Guru Besar.
Bagi menjamin pengurusan sekolah yang cemerlang, beliau menyarankan kepada semua Guru Besar supaya menggembling kemahiran untuk meningkatkan ilmu pengetahuan pelajar. Dedikasi dan semangat kerja kaum guru era ‘papan batu’ mungkin boleh direnung semula. Ini kerana dalam serba kekurangan, guru dahulu mampu membentuk pelajar cemerlang era itu. Keadaan ini mungkin boleh diolah semula oleh guru-guru masa kini untuk memulihkan para pelajar yang tidak boleh menguasai kemahiran membaca khasnya. Ini bagi memastikan kumpulan pelajar ini akan mampu berada dalam ‘main stream’ apabila melangkah kelas.
Berbalik kepada dapatan lawatan ke England, Tan Sri Alimuddin berasa amat tertarik dengan perubahan yang dilaksanakan oleh Guru Besar sekolah Sunbury Manor. Ini kerana sebelum ini, sekolah itu telah dilabel sebagai sekolah bukan pilihan oleh ibu bapa dan badan penaziran di sana. Kedudukan sekolah yang tidak merangsangkan pembelajaran menjadi aset yang menyumbang kepada kelemahan prestasi sekolah. Hal ini telah dinafikan oleh pengurus sekolah itu sekarang. Melalui kepimpinan instruksional yang diadun dengan sikap amat mesra dengan pelajar dan ibu bapa, menjadikan Guru Besar sebagai ikon utama di sekolah itu. Ini membuktikan bahawa kepimpinan Guru Besar menjadi nadi kepada kecemerlangan sekolah itu.
Sementara itu, Yang Dipertua GMGBM, Tn. Hj.  Roslan bin Madon dalam ucapan aluannya, beliau menyatakan sokongan penuh GMGBM  kepada KPM terhadap cadangan pemansuhan UPSR. Menurut beliau, GMGMB telah menghantar kertas konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan UPSR kepada KPM. Menurutnya, satu badan khas dicadangkan penubuhannya bagi mengawal CGPA para pelajar.
Sebagai badan profesional yang menjaga kerjaya ahlinya, beliau turut merayu kepada YB. Timbalan Menteri Pelajaran supaya membantu GMGBM. Adalah diharapkan akan muncul nanti Guru Besar Siswazah Gred DG48 di samping menaikkan gred DGA38 KUP ke  gred DGA40 khusus kepada Guru Besar.
Dicatat oleh : En.Kamal bin Abdullah,Penolong Pengarah Pengurusan Guru yang mengikuti persidangan tersebut

2 comments: