KUALA LUMPUR 11 Jun - Apa nak jadi dengan anak-anak gadis sunti sekarang? Walaupun baru menginjak usia permulaan persekolahan tetapi sudah berani bertindak seperti orang dewasa.
Ini kerana, menurut Kementerian Kesihatan, bilangan budak perempuan berumur di bawah 10 tahun yang telah mula merokok adalah lebih ramai berbanding kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia tersebut.
Timbalan menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, maklumat hasil kajian pada 2003 itu menunjukkan 28.8 peratus gadis di bawah umur tersebut mula berjinak-jinak dengan rokok atas sebab-sebab tertentu.
"Hasil kajian itu mengejutkan dan membimbangkan kita kerana peratusan tersebut adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding 14.1 peratus kanak-kanak lelaki di bawah 10 tahun yang mula merokok.
"Secara keseluruhannya, kajian itu mendapati sebanyak 16.4 peratus anak muda dalam lingkungan usia tersebut didapati mula atau pernah cuba merokok," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 peringkat Institut Perubatan Respiratori (IPR) di sini hari ini.
Hari Tanpa Tembakau Sedunia tahun ini ditumpukan kepada usaha mengelakkan gadis dan wanita daripada mula merokok kerana mereka dilihat menjadi sasaran baru pengeluar produk tembakau yang semakin kehilangan perokok lelaki.
Selain risiko strok, barah organ-organ utama, penyakit jantung dan paru-paru, perokok wanita menghadapai lebih banyak ancaman seperti masalah kesuburan, keguguran, kelahiran bayi tidak cukup bulan, barah pangkal rahim dan payu dara serta mempercepatkan proses penuaan.
"Laporan tersebut menunjukkan gadis lebih cenderung untuk mula atau cuba merokok dari usia muda dan ini membimbangkan kerana trend terkini menunjukkan perokok lelaki dewasa semakin berkurangan sementara perokok wanita semakin meningkat.
"Kanak-kanak sekarang juga lebih cepat 'dewasa' dan mereka lebih mudah dipengaruhi rakan sebaya serta iklan.
"Oleh itu, semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan sekolah, masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memantau anak-anak muda kita supaya tidak terjebak dengan ketagihan merokok," tegasnya.
Jelasnya, kajian berkenaan turut menunjukkan 33.1 peratus remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun pernah cuba merokok sementara 20.2 peratus mengekalkan tabiat buruk tersebut.
"Kajian peringkat global turut menunjukkan kebanyakan individu mula merokok sebelum berumur 18 tahun dan jika trend ini berterusan, sebanyak 250 juta remaja akan menemui ajal akibat rokok," jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Rosnah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pengumuman untuk menambah lapan hospital besar, 127 klinik dan 50 klinik 1Malaysia di seluruh negara.
"Langkah ini diharap dapat meningkatkan penjagaan kesihatan rakyat terutama melalui klinik 1Malaysia yang mendapat sambutan menggalakkan penduduk di pinggir-pinggir bandar," katanya
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment