Sunday, June 27, 2010

Program Memperkasakan Sekolah Kebangsaan Pengelola Sekolah Malaysia Cawangan Terengganu

Mulai 26 hingga 28 Jun 2010 Jabatan Pelajaran Negeri bersama Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia Negeri Terengganu telah mengadakan Program Memperkasakan Sekolah Kebangsaan kepada Pengelola Sekolah Malaysia Cawangan Terengganu  di Kesedar Inn,Gua Musang,Kelantan. Program seumpamanya telah didedahkan kepada Majlis Guru Besar Negeri Terengganu pada minggu lepas. Adalah diharapkan pendedahan kepada dua pihak yang sama berkepentingan ini akan lebih memperkasakan lagi kedudukan sekolah kebangsaan khususnya sekolah-sekolah rendah di negeri  Terengganu.

En. Ramli bin Zainal,Ketua Sektor,Sektor Jaminan Kualiti telah menyampaikan ucaptama bagi menggantikan Pengarah Pelajaran Negeri. Beliau menekankan pentingnya para pengelola selaku pemantau pelaksanaan dasar pendidikan negara menghayati visi dan misi Jabatan Pelajaran Negeri dengan sebaik mungkin di samping menghayati sifat dan sikap sebagai seorang pengelola sekolah yang profesional melalui nilai dalam perkhidmatan awam. Beliau juga menyarankan agar semua pengelola sekolah peka dengan perubahan dan dasar-dasar terkini kerajaan.

Seminar ini juga nanti akan diisi dengan input-input daripada Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah selaku Penasihat Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia Cawangan Terengganu yang bukan sahaja menggariskan cadangan peningkatan profesionalisma kepengelolaan bagi memperkasakan sekolah kebangsaan tetapi juga berkaitan kebajikan dan masa depan pengelola sekolah.

Pagi tadi Timbalan Yang DiPertua Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia,Tuan Haji Abd. Aziz  Che Ismail telah membicarakan isu dan perjuangan pengelola sekolah.Beliau berharap agar ahli pengelola sentiasa bersatu padu dan bersedia menerima perubahan dengan minda terbuka serta sentiasa berusaha gigih mempertingkatkan tugas-tugas pengelola yang diamanahkan.

Kita berharap dengan pendedahan dan penjelasan daripada pelbagai sumber sahih tidak timbul lagi pandangan negatif,salah faham dan kekeliruan berkaitan fungsi tugas,satatus dan masa depan pengelola.Marilah kita memperkasakan peranan Pengelola Sekolah kerana hanya kita sendirilah yang akan menentukan martabat dan maruah kita dan persatuan kita.



No comments:

Post a Comment