KUALA LUMPUR: Tindakan guru menggunakan hukuman agresif terhadap pelajar yang melakukan kesalahan didapati menjadi ikutan golongan muda itu membuli rakan di sekolah dengan perbuatan ganas seumpamanya.
Bercakap ketika dihubungi di sini, semalam, Profesor Adjung di Fakulti Sains Tingkah Laku, Kolej Universiti HELP, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, berkata biarpun hasil kajian terbaru itu diperoleh daripada penyelidikan di luar negara, tetapi ia tidak mustahil faktor berkenaan turut menyumbang kepada gejala buli oleh pelajar di sekolah negara ini
Bekas Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan berpengalaman luas melakukan kajian intensif tingkah laku buli di kalangan pelajar berkata, tindakan guru sedemikian memberi persepsi atau tafsiran salah oleh pelajar bahawa seseorang yang berkuasa atau lebih tua boleh bertindak agresif terhadap yang lebih muda atau lemah.
Beliau mengulas kejadian seorang pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD), Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, mati di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi di sini, awal pagi kelmarin, dipercayai akibat dibuli dan didera sekumpulan pelajar senior di asrama maktab itu.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata lambakan permainan aksi ganas melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ketika ini mempengaruhi psikologi serta tingkah laku pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, pula berkata Kementerian Pelajaran sedia berkongsi pandangan serta pengalaman menangani masalah buli di sekolah berasrama penuh (SBP) sekiranya diminta oleh agensi yang menguruskan MTD.
“Kementerian juga sentiasa mengingatkan mana-mana pelajar yang menjadi mangsa buli supaya berani tampil untuk melaporkannya dan jangan membiarkan perbuatan itu berlarutan,” katanya
Sumber : Berita Harian Online
Admin : Persoalannya apakah guru menghukum mengikut sesuka hati atau berdasar garis panduan yang ditetapkan oleh KPM berdasarkan jenis salahlaku yang juga jelas diklasifikasi secara terperinci oleh KPM.Minta para guru respone agar kita mencari jalan penyelesaian terbaik bukan menuding jari menyalahkan si anu dan si anu...
No comments:
Post a Comment