Saturday, June 19, 2010

Peluang kerjaya guru sandaran sentiasa terbuka luas

Kami di Unit Penyeliaan Sekolah Rendah seringkali juga menerima pertanya dari bekas Guru GSTT ataupun bakal guru GSTT.Sila baca jawapan di bawah untuk keterangan lanjut:-

MERUJUK kepada surat pembaca ‘Pendidik Sejati, Kulim, Kedah’ bertajuk ‘Guru GSTT kecewa tiada perhatian’. Sebenarnya, pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti.

Dalam usaha Kementerian Pelajaran memperoleh guru yang memiliki tahap pencapaian kompetensi profesional, guru terlatih adalah faktor penting untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan berkualiti kepada generasi kini dan akan datang.

Pelantikan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) adalah bagi mengisi kekosongan jawatan untuk sesuatu tempoh sehingga kekosongan jawatan itu diisi pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP).

Pelantikan sebagai GSTT adalah bertaraf bukan kakitangan kerajaan dan tidak layak mendapat faedah atau kemudahan seperti diterima guru tetap. Upah yang diterima GSTT adalah dalam bentuk elaun bulanan saja. Pelantikan sebagai GSTT ini bukanlah satu jaminan mendapat latihan perguruan seterusnya dilantik sebagai PPP.

Namun, untuk menuju matlamat itu, perkhidmatan GSTT diperlukan bagi mengisi kekosongan semasa. Bakti dicurahkan tidak pernah dinafikan Kementerian Pelajaran, malah sentiasa bersikap terbuka dalam meningkatkan kerjaya GSTT menerusi kursus pra perkhidmatan.

Antara program latihan dikendalikan Institut Pendidikan Guru ialah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Selain itu, ada Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sepenuh masa selama setahun.

KPLI Mode Kursus Dalam Cuti (KDC) dan KPLI-LPBS (Lepasan Perguruan Berasaskan Sekolah) yang mengambil masa setahun enam bulan dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM–KDC) selama tiga tahun enam bulan.
Seterusnya, bagi keperluan sekolah menengah, ada dua program latihan perguruan di IPTA, iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan selama empat tahun dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah selama setahun.

Bagaimanapun, bilangan GSTT mengikuti program itu tertakluk kepada opsyen serta keperluan dari semasa ke semasa. Kelayakan akademik seseorang pemohon juga turut diambil kira.

Melalui Dokumen Pembangunan Pendidikan 2001-2010 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Kementerian Pelajaran sudah melaksanakan dasar pensiswazahan guru, maka Program KPLI-KDC diutamakan berbanding Kursus Perguruan Lepasan Diploma-Kursus Dalam Cuti (KPLD-KDC). Langkah itu juga bertepatan dengan gagasan kerajaan dalam membangunkan modal insan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment