Monday, June 7, 2010

Pendapat ibubapa - Dilema Cuti Sekolah

2010/06/07

SAYA ucapkan tahniah atas peringatan dibuat Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengenai cuti Sabtu bagi guru. Persoalannya sekarang bagaimana pula dengan murid yang terpaksa ke sekolah setiap Sabtu dan sepanjang cuti persekolahan.

Saya mempunyai anak yang belajar di sebuah Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Alor Gajah. Saya ucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada pihak sekolah terutama kepada guru besar dan guru yang berusaha gigih untuk menaikkan nama sekolah serta meningkatkan prestasi murid.
Mereka berusaha untuk meningkatkan prestasi murid tanpa sebarang bayaran. Apa yang saya rasa terkilan adalah pihak sekolah mengadakan kelas tambahan sepenuhnya sepanjang cuti pertengahan tahun ini.

Murid Tahun Lima dan Enam diwajibkan hadir setiap hari ke sekolah sepanjang cuti persekolahan ini kecuali pada Sabtu dan Ahad.

Murid Tahun Satu, Dua dan Tiga yang terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat zon dan daerah juga diwajibkan hadir setiap hari.

Ini agak mendukacitakan kerana waktu cuti persekolahan inilah masanya kami ibu bapa dan penjaga membawa anak pulang ke kampung atau makan angin, Anak kami takut untuk tidak hadir ke sekolah kerana diberi amaran untuk mesti hadir setiap hari.

Kami ibu bapa serta penjaga tidak ada masalah jika waktu cuti persekolahan ini digunakan dua atau tiga hari atau seminggu saja untuk diadakan kelas tambahan dan bukannya menggunakan sepenuhnya waktu cuti itu.
Guru mungkin tidak ada masalah kerana mereka hanya bergilir hadir ke sekolah sedangkan murid mesti hadir setiap hari. Masalah ini, saya sudah kemukakan kepada pihak pengurusan sekolah tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.
Terima kasih atas usaha guru besar dan guru sekolah itu tetapi ketika sama meminta mereka prihatin dengan masalah kami ibu bapa, penjaga dan murid. Diharap pihak JAIM dapat memantau perkara ini.

AZMAN MOHAMAD,
Alor Gajah, Melaka.
 

Sumber : Berita Harian Online


1 comment:

  1. Itu laaaa, tak dibuat kelas tambhan waktu cuti sekolah, ada pihak pibg sesetgh sekolah bising... dibuat, pun bising juga. Kami cg ni pun ibu bapa jg, x ada kls pun ank kena gi sekolah.., pihk ptadbir ckp, x blh, kena wat kls.. nanti pibg bising... abisss tu????

    ReplyDelete