Wednesday, June 16, 2010

Satu Catatan Perjalanan


Pagi tadi dalam perjalanan saya bersama isteri dan anak-anak menuju ke Kuala Lumpur saya dan isteri tiba-tiba teringat akan seorang sahabat lama apabila mula masuk kawasan Kampung Bukit Diman,Ajil,Hulu Terengganu. Sudah hampir lima tahun tidak bertemu dan cerita yang kami dengar beliau sakit kerana serangan stroke. Hati kami terasa sangat ingin bertemu beliau.
Kami membuat keputusan dan berhenti di hadapan sebuah banglo yang kelihatan tidak berapa terurus persekitarannya. Kami yakin itulah rumah beliau.Tapi hati ragu-ragu. Saya meminta isteri bertanyakan seorang perempuan yang berada di sebuah kedai bersebelahan pagar banglo berkenaan. Sah inilah rumah yang kami cari . Hanya beberapa ratus kaki kalau tidak silap daripada SK Bukit Diman.
Perempuan yang kami panggil kakak membawa kami ke banglo berkenaan dan di beranda hadapan kami melihat susuk tubuh yang agak kurus sedikit. Kami memberi salam. Dia kelihatan ragu-ragu. Kami perkenalkan diri.Dia kelihatan sebak dan ada air mata dipenjuru matanya.Manuskrip yang sedang dibelek disimpan ke dalam fail.Di sebelah kanan tercatuk mesin taip.Saya duduk di sisi dan bertanya khabar. Sebutannya agak kurang jelas ..kesan serangan stroke. Lama kelamaan beliau semakin ingat siapa saya dan isteri kerana walaupun saya tidak pernah mengajar bersama tetapi selalu berjumpa .Sementara isteri pernah mengajar satu sekolah dengannya dahulu.
Menurutnya sudah empat tahun beliau bersara dari tugas menjadi guru. Persaraan atas “medical board”  kerana stroke .Tugas terakhirnya sebagai GPK Kokurikulum di SK Cheting,Hulu Terengganu.Saya teringat masa sihatnya,beliu seorang yang pendiam dan amat merendah diri walaupun namanya gah dan besar terutama dalam bidang penulisan tanah air.Bicara dan tutur katanya lemah- lembut berseni sesuai dengan jiwa seorang penulis guru. Itulah Zailiani Taslim bekas seorang guru,penulis novel,buku dan puisi. Cintanya pada dunia penulisan tidak pernah padam biarpun keupayaan fizikal bukan seratus peratus lagi..
Sewaktu bersalam untuk meneruskan perjalanan,sekali lagi saya,isteri dan anak-anak sebak kerana beliau tersengguk-sengguk menahan sendu.Situasi ini mengingatkan saya kepada peristiwa dua minggu sudah sewaktu saya,Pengerusi MGB Terengganu ,Ketua Unit Sekolah Rendah dan beberapa sahabat melawat Cikgu Rashid Mohamad atau dikenali “Cikgu Rashid Sing” Guru Besar,SK Keluang yang kini lumpuh kerana ketumbuhan di dalam otak. Tangisan beliau menerima kunjungan dan waktu mohon pulang sangat menyentuh hati saya.Sebagai guru barangkali nikmatnya adalah ”keriuhan” rakan-rakan dan anak-anak murid. Kini semua itu telah kian jauh dan kian sepi bagi rakan seperjuangan seperti Cikgu Zailiani dan Cikgu Rashid..
Kepada sahabat yang punyai luang dan kesempatan jenguklah mereka sementara hayat masih ada..semoga sahabat yang diuji Allah ini akan sentiasa cekal dan tabah menghadapi takdir hidup ini..

No comments:

Post a Comment