Monday, June 21, 2010

Cabaran Pengurusan Sekolah Berprestasi Tinggi

Intipati Ucapan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sempena Seminar Memperkasakan Sekolah Kebangsaan MGB Terengganu 2010:

YM Tg. Anuar Tengku Dalam,Ketua Sektor,Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu merakamkan penghargaan terima kasih kerana berpeluang hadir. Rasa amat beruntung kerana mendapat kesihatan dan kekuatan setelah lama berada dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan. Telah lama berhasrat untuk melontarkan buah fikiran kepada para pengurus sekolah.Beliau melihat ada beberapa isu yang dilihat membelit dan melingkari tugasan dan fungsi sebenar pengurus sekolah. Ini kerana pengurusan sekolah sentiasa berdepan dengan beribu-ribu masalah sehinggakan semua menjadi sangat sibuk. Puncanya ialah kerana banyak kehendak, cabaran dan isu yang melingkari kerja buat pengurus di sekolah.

Lanjutan daripada itu, Tuan Ketua Sektor melihat situasi sekolah semacam berada dalam ‘kelelahan’ dan ‘kepenatan’ demi memastikan semua kesibukan ini tercapai. Hasil daripada berfikir dan bermuhasabah selama ini, beliau mendapati kekalutan ini berpunca daripada kealpaan kita semua kepada kehendak dan matlamat KBSR dan KBSM. Oleh itu beliau mengajak semua Guru Besar melihat semula asas pelaksanaan KBSR dan KBSM yang telah diakui amat lengkap dan berkesan.

Mengambil kira kehendak semasa kepimpinan tertinggi di KPM yang telah menggariskan kehendak Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), umum mula memperkatakan tentang SBT ini. Sewajarnya pengurus sekolah melihat dari aspek positif akan bai’ah yang telah disebut dalah SBT. Saranan beliau ialah jangan sekali-kali sasaran mendapat label SBT mengejar pengurus sekolah. Sebaliknya biarlah pengurus sekolah mengejar SBT.
Tuan Ketua Sektor juga banyak mengupas keempat-empat cabaran yang telah digariskan oleh KPM untuk mencapai SBT. Menyentuh akan cabaran pertama, iaitu SBT menepati kehendak dasar pendidikan kebangsaan dan dasar-dasar negara, beliau mengingatkan supaya pengurus sekolah tidak ‘hilang punca’ dek kerana perubahan-perubahan baru yang sentiasa diperkenalkan. Ini kerana asas pelaksanaan KBSR/KBSM sudah sangat hebat dengan penyusunan kurikulum yang sudah mantap. Oleh itu semua pengurus sekolah diingatkan supaya mengkaji semula objektif dan matlamat yang sudah sedia ada.

Menyentuh cabaran kedua iaitu melahirkan kepimpinan berkesan di sekolah-sekolah, beliau mengingatkan kepada semua Guru Besar supaya ‘bertingkahlaku’ yang menepati zaman dan masa kini. Kepimpinan autokratik dan laizess-faire sudah tidak ada tempat dalam era sekarang. Pengurus sekolah perlu mengelakkan diri daripada dibenci atau lebih teruk lagi dimaki oleh pengikut bawahan kerana stail pengurusannya. Sebaik-baiknya jadilah seorang pengurus yang supportif dan partisipatif supaya guru-guru di bawah akan menjadi pengikut dan penyokong. Visi Sekolah, Misi Sekolah, Moto Sekolah dan Slogan Sekolah perlu dijadikan ‘medium’ untuk mencapai matlamat pengurusan di sekolah.

Cabaran ketiga SBT yang ingin melahirkan pengurusan sekolah berkualiti dan strategik memerlukan pengurus sekolah memahami dan melaksanakan dengan menyeluruh 8 cabang pengurusan sekolah. Ianya meliputi pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum, pengurusan am dan pejabat, pengurusan fizikal sekolah, pengurusan kewangan sekolah, pengurusan hal ehwal murid, pengurusan personal/ sataf dan pengurusan dengan komuniti. Kesemua bidang ini perlu dilaksanakan serentak oleh pengurus sekolah bagi menjamin iklim kerja dan belajar yang kondusif di sesebuah sekolah.

SBT juga menggariskan tindakan profesional warga guru sebagai cabaran keempat. Profesional berkait rapat dengan ilmu, sikap dan kepakaran guru-guru. Sekiranya guru-guru kita tahu buat, reti cara buat dan boleh buat, maka guru itu tinggi tahap profesional. Menyentuh ini, beliau menggambarkan empat kategori manusia (guru) yang ada . Iaitu kategori Tahu tetapi Tidak Mahu (pemalas), kategori Tidak Tahu danTidak Mahu (kayu mati), kategori Tahu tetapi Mahu (ada harapan) dan kategori Tahu dan Mahu (bintang). Sebagai pengurus yang berkesan, Guru Besar perlu mendorong pengikutnya supaya tidak tergolong sebagai ‘pemalas’ dan ‘kayu mati’.

Catatan oleh: En.Kamal Abdullah,Penolong Pengarah,Pengurusan Guru

No comments:

Post a Comment