PUTRAJAYA 22 Jun - Semua calon yang telah lulus kursus perguruan tidak akan lagi dilantik sebagai Guru Sandaran Terlatih sebaliknya diserapkan sebagai guru tetap tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi juga memberikan status perjawatan yang lebih baik kepada guru terlatih itu.
''Dalam pengambilan yang akan datang, kita tidak perlu ada guru sandaran terlatih lagi dan kalau ada jawatan yang kita perlukan, penempatan boleh dibuat secara langsung ke mana-mana sekolah yang sesuai.
''Apa yang penting kita hendak guru yang cukup baik dan terpilih diberikan jawatan tetap selepas proses tapisan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di sini hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, bagi melaksanakan tindakan tersebut, sewajarnya perkongsian maklumat dari segi data pelatih antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan SPP dapat diperkemaskan.
Ini supaya proses pelantikan ke jawatan tetap itu dapat dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berkesan.
''Buat masa ini pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran dan Unit Pusat Universiti Kementerian Pengajian Tinggi.
''Mereka yang telah lulus latihan kemudiannya akan dilantik sebagai guru oleh SPP," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggariskan lima syor yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti guru.
''Lima syor itu adalah mengadakan kempen merekrut calon-calon guru terbaik, memastikan guru-guru menumpukan sepenuhnya kepada tugas mengajar dan bukannya tugas perkeranian.
''Selain itu, meningkatkan akauntabiliti institut pendidikan guru melalui pengenalan sistem penarafan berdasarkan tahap kecemerlangan masing-masing, merekrut guru-guru berkualiti dalam bidang kritikal dan menambahbaik laluan kerjaya guru," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment