KUALA TERENGGANU 16 Mei - Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk memberi insentif kepada bekas guru di negeri ini sebagai mengenang jasa dan khidmat mereka mengajar anak bangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bentuk insentif tersebut akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak lama lagi.
Beliau memberitahu, penghargaan itu wajar diberikan kepada mereka yang banyak membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan khususnya di Terengganu.
Menurut beliau, profesion perguruan adalah satu kerjaya yang mulia dan ia sering dikatakan sebagai permulaan kejayaan seseorang dalam kehidupan.
"Guru seringkali diumpamakan sebagai pelita yang menerangi hidup orang lain, jadi pelbagai cara dilakukan bagi menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih untuk menghargai jasa dan pengorbanan seseorang guru," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas melawat beberapa bekas guru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini hari ini sempena sambutan Hari Guru 2010.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada tujuh bekas guru.
Sementara itu, seorang pesara guru, Dr. Alias Omar, 62, sewaktu ditemui di rumahnya di sini berkata, terdapat perbezaan antara guru masa kini dengan guru pada zaman dahulu.
Beliau menjelaskan, guru era kini memerlukan komitmen yang tinggi untuk terus melonjakkan pendidikan.
"Di samping itu, para pendidik juga perlu berdedikasi dan meningkatkan ilmu seiring dengan teknologi masa kini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment