ALOR SETAR 9 Mei - Bagi Abdullah Thani Ibrahim, sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini mungkin hilang serinya jika ia tidak diraikan bersama basikal klasik kesayangannya walaupun terpaksa menghadapi cabaran getir berkayuh sejauh lebih 500 kilometer dari sini ke Putrajaya.
Penyelia kanan asrama berusia 56 tahun itu memulakan kayuhannya ke Putrajaya dari Kompleks Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah di sini hari ini.
Dia yang berasal dari Seberang Perak di sini dijangka mengambil masa selama lima hari untuk sampai ke Putrajaya pada 14 Mei ini.
Dengan mengayuh basikal jenis BSA (Birmingham Small Army) keluaran 1957, Abdullah Thani berkata, selain sambutan Hari Guru, program tajaan Persatuan Penyelia Asrama Negeri Kedah dengan JPN Kedah itu bertujuan membuktikan semangat dan komitmen tinggi kakitangan di bawah jabatan berkenaan.
"Sebab itu saya turut membawa sebuah buku yang mengandungi 3,340 nama petugas-petugas yang menjalankan perkhidmatan dengan baik di bawah JPN Kedah seperti pengetua, penyelia atau warden asrama, guru-guru dan sebagainya.
"Buku ini akan diserahkan kepada pihak berkenaan di Putrajaya sebaik sahaja saya menamatkan kayuhan di sana nanti," kata beliau ketika ditemui pada majlis pelepasan Kayuhan Abdullah Thani Sempena Hari Guru di Kompleks JPN Kedah di sini hari ini.
Pelepasan tersebut disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran negeri Kedah, Shahidan Abdul Rahman manakala sebahagian ahli Persatuan Gerek Tua Kota Setar (Getuas) mengiringi Abdullah Thani dari Kompleks tersebut sehingga Pekan Rabu di sini sebelum dia mengayuh secara solo ke Putrajaya.
Ditanya mengenai jadual ketibaannya di Putrajaya tidak sama dengan tarikh sambutan Hari Guru iaitu 16 Mei, Abdullah Thani menjelaskan, dia memilih tarikh tersebut memandangkan sambutan berkenaan akan diadakan di Pahang.
Abdullah Thani yang juga ahli Getuas sebelum ini pernah mengayuh secara solo mengelilingi negeri Kedah melibatkan perjalanan sejauh 450 kilometer sempena Hari Kemerdekaan pada tahun lalu.
Menurutnya, sebagai persiapan untuk mengayuh ke Putrajaya, dia telah menjalani latihan rapi selama empat bulan melibatkan kayuhan sejauh lebih 40 kilometer sehari bagi meningkatkan kecergasan termasuk kayuhan pada waktu tengah hari, malam dan pagi.
"Saya juga berlatih mengayuh ketika hujan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang bakal ditempuhi sepanjang perjalanan ke Putrajaya," tambah beliau.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment