Saturday, May 15, 2010

Menjelang Hari Guru Ke 39 - Pembinaan jejantas RM1.5 juta hadiah Hari Guru



JA'AFFAR Hashim (tiga dari kiri) mendengar penerangan berhubung projek membina jejantas pejalan kaki Sekolah Menengah Kebangsaan Banang Jaya, Batu Pahat, kelmarin.



BATU PAHAT 14 Mei - "Pembinaan jejantas ini mungkin hadiah terbaik untuk Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei ini."

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ja'affar Hashim semasa merasmikan Majlis Penanaman Cerucuk Jejantas Pejalan Kaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banang Jaya, di sini semalam.

Sejak sekolah itu dibuka kira-kira tujuh tahun lalu, pelajar dan murid dari SMK Banang Jaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Banang Jaya boleh dikatakan menyabung nyawa semasa melintas jalan utama di hadapan sekolah mereka.

Ja'affar berkata, jalan itu juga dikenal pasti sebagai antara yang paling banyak meragut nyawa akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

Katanya, jejantas itu yang dijangka siap pada hujung tahun ini dengan kos RM1.5 juta diharapkan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 pelajar.

"Di SMK Banang Jaya terdapat kira-kira 1,200 pelajar, SK Banang Jaya yang terletak bersebelahan ada lebih daripada 500 murid.
"SM Sains Batu Pahat yang masih dalam pembinaan pula dijangka bakal menerima antara 700 hingga 800 pelajar," katanya pada sidang akhbar di sini.

Turut hadir Jurutera Daerah Batu Pahat, Ir. Khalid Omar dan Pengetua SMK Banang Jaya, Abdul Rashid Sulaiman.

Ja'affar berkata, SMK Banang Jaya dan SK Banang Jaya menjadi tempat menimba ilmu bagi pelajar dan murid yang tinggal di Kampung Sungai Suloh, Kampung Sungai Ayam, Kampung Rahmat, Taman Bukit Flora dan Evergreen.

Pihaknya menerima permohonan untuk membina jejantas daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit tahun lalu dan beliau bersyukur kerana Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan kemudahan tersebut.

Katanya, jejantas itu juga bakal menjadi pintu gerbang bagi DUN Senggarang yang dijangka pesat membangun pada masa akan datang dengan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan kem tentera bersebelahan Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang dijangka siap 2012.

Sementara itu, beliau mengingatkan kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan projek jejantas itu mengikut jadual demi kepentingan dan keselamatan pelajar di sekolah terbabit.

"Apabila siap hujung tahun ini, kita harap Januari tahun depan sudah boleh pijak jejantas ini kerana secara simbolik, ia juga adalah pintu gerbang bagi Senggarang.

"Kita tak mahu ia tertangguh seperti yang berlaku pada pembinaan projek sekolah berdekatan sehingga menjejaskan proses pengambilan para pelajarnya," katanya.

Pembinaan SM Sains Batu Pahat yang terletak berdekatan SMK Banang Jaya diklasifikasi sebagai projek sakit dan kontraktor asal telah disenarai hitam kerana gagal menyiapkan projek mengikut jadual walaupun beberapa kali lanjutan tempoh diberikan.

Sekolah tersebut sepatutnya memulakan pengambilan pelajar pertama pada awal tahun ini namun sehingga kini ia masih dalam proses pembinaan.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment