Wednesday, May 12, 2010

Menjelang Hari Guru Ke 39 - Laporan Kajian Beban Guru Siap Seminggu Lagi

PUTRAJAYA: Laporan jawatankuasa mengenai kajian beban guru akan siap dalam tempoh seminggu lagi, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, ahli jawatankuasa kini di peringkat akhir mengumpulkan semua maklumat sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Mesyuarat akhir akan diadakan hari ini dan saya rasa dalam masa seminggu lagi semua laporan dan cadangan dapat dikemukakan kepada Menteri Pelajaran untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.

Sementara itu, Alimuddin berkata, sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang akan diadakan Ahad ini di Gambang, Pahang, Muhyiddin akan mengumumkan tawaran insentif baru sebagai menghargai jasa dan prestasi pengetua serta guru besar berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

"Insentif baru itu akan turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar. Ini adalah antara perkara menarik untuk guru sempena Hari Guru tahun ini. Pengumumannya akan dibuat sendiri oleh menteri dalam sambutan Ahad ini," katanya. - BERNAMA

0 ulasan:

Post a Comment