Saturday, May 15, 2010

Menjelang Hari Guru Ke 39 - Drama khas sempena Hari Guru


ZULHUZAIMY dan JUE AZIZ DALAM SATU BABAK DRAMA UNJUL NAK JADI ORANG.


SERING dikatakan guru umpama pelita. Kerjaya yang sungguh mulia itu dikatakan sebagai permulaan kejayaan seseorang dalam hidup mereka.

Selain ibu bapa, gurulah yang memainkan peranan penting dalam mencorak hidup anak muda dengan menyampaikan ilmu.

Pengorbanan mereka tiada tolok banding, kerana untuk mendidik bukanlah satu tugas yang mudah.

Bersempena dengan sambutan Hari Guru esok, 16 Mei, TV2 tidak ketinggalan merakamkan penghargaan kepada golongan pendidik dengan menyiarkan sebuah drama yang mengangkat kerjaya guru.


Menerusi Slot Sinema Ahad pada pukul 9.30 malam, TV2 mempersembahkan Unjul Nak Jadi Orang dengan mengetengahkan watak Unjul yang menjadikan bapa angkatnya seorang pesara guru sebagai idola.
Diterajui oleh Zulhuzaimy, drama ini turut dibintangi oleh Wan Maimunah, Jue Aziz, Ridzuan Hashim, Zamarul Hisham, Bea Rameshan dan Nor Albaniah.

Sepanjang dua jam siarannya, drama ini memaparkan Unjul yang tinggal di sebuah rumah kampung berdua dengan ibunya, Uteh. Segala yang dibuat semuanya tak kena.

Gagal dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Unjul terus disindir oleh orang kampung termasuklah ibunya sendiri walaupun sudah lima tahun ia berlalu.

Sikapnya yang malas membuatkan ibunya menghalau Unjul dari rumah sebagai pengajaran kepadanya dengan harapan Unjul menjadi lebih rajin mencari duit sendiri.

Tauke Billy yang merupakan pesara guru kasihan dengannya lalu menumpangkan Unjul di rumahnya walaupun dia tahu sifat Unjul yang pemalas.

Unjul bercinta dengan Ema, seorang gadis kampung yang sangat cantik, namun dihalang oleh ibu Ema kerana sifatnya itu.

Tauke Billy sering menasihati Unjul agar mengambil semula SPM kerana bagi tauke Billy ilmu adalah aset paling penting untuk berjaya.
Akhirnya Unjul menerima nasihat Tauke Billy. Unjul belajar sebelah malam di rumah tauke Billy di samping bekerja.

Di rumah tauke Billy, Unjul juga dibantu oleh Memei yang kebetulan ketika itu sudah habis belajar di salah sebuah universiti tempatan.

Dalam diam, Memei sudah lama menyimpan rasa cinta pada Unjul, tapi tidak diluahkannya.
Adakah kisah perjalanan hidup Unjul berdepan dengan dugaan hidup termasuk percintaan yang menyulitkan berjaya diatasi?

Berjayakah dia mencapai cita-citanya menikahi Ema atau dia memilih Memey yang menyintainya dalam diam itu? Saksikan drama khas ini esok.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment