Monday, May 17, 2010

Hari Guru 2010 - Warga pendidik diminta terus amalkan budaya kerja cemerlang

KUANTAN 16 Mei - Warga pendidik diminta menggembleng tenaga dan usaha untuk terus mengamalkan budaya kerja cemerlang, bertanggungjawab dan menerapkan semangat mujahadah bagi melakukan yang terbaik demi anak bangsa.

Ketika membuat seruan itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, para pendidik hendaklah sentiasa bersedia berubah dari satu tahap amalan kerja yang biasa ke suatu tahap yang berprestasi tinggi.

Beliau berkata, warga pendidik perlu menggalas tugas besar untuk menjayakan transformasi dan pembaharuan pendidikan dengan satu hasrat dan tekad bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Katanya, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar termasuk Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Satu Pelajar Satu Sukan dan pengenalan Bidang Keberhasilan Utama negara (NKRA).

"Ini adalah satu amanah besar yang terletak di bahu kita semua. Di samping itu, seluruh warga pendidik perlu saling membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mulia ini dengan hasrat untuk menghasilkan kejayaan secara kolektif. Bak kata pepatah Melayu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran sambutan Hari Guru ke-39 peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.
Alimuddin berkata, selaras dengan usaha mempromosikan budaya kerja yang tinggi, pihak kementerian akan memperkenalkan insentif kepada pengetua dan guru besar sekolah yang cemerlang berasaskan 'performance-based assesment.'

Beliau berharap langkah itu dapat memberi motivasi kepada semua pemimpin sekolah dan warga pendidik bagi meningkatkan prestasi dengan bersikap dinamik, bersemangat ketika menjalankan tugas, berdisiplin, mahir dalam mata pelajaran dan sentiasa mampu menghasilkan keputusan yang baik kepada sekolah masing-masing.

"Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme guru, agendanya bukan hanya sekadar penambahbaikan skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, malah turut bergantung pada tahap kualiti, kompetensi, jati diri dan semangat para guru.

"Faktor-faktor ini banyak mempengaruhi persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap profesion ini yang akhirnya, akan menentukan sejauh mana profesion keguruan akan terus dihormati dan dipandang tinggi," katanya.

Dalam ucapannya itu, Alimuddin turut menyatakan sasaran utama kementerian yang telah mengumumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sebagai penanda aras dalam soal kecemerlangan pendidikan, untuk dicontohi dan diteladani oleh semua sekolah.

Beliau turut menyentuh pemilihan semula tema sambutan Hari Guru "Guru Pembina Negara Bangsa" kerana ia bertepatan dengan peranan guru memupuk perpaduan di kalangan rakyat selaras dengan gagasan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Warga pendidik katanya, perlu menyedari hakikat bahawa pendidikan merupakan pemangkin terhadap pembinaan negara bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan di peringkat awal perkembangan murid sehinggalah ke pendidikan tinggi.

"Usaha yang gigih dan kerjasama erat daripada semua pihak khususnya di kalangan warga pendidik amat diperlukan bagi memastikan identiti nasional yang dihasratkan tercapai iaitu melahirkan murid yang memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh pada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyrakat penyayang, demokratik, liberal, bertolak-ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Ucapan Penuh YAB Timbalan Perdana Menteri sempena Pelancaran Hari Guru 2010 klik di sini

No comments:

Post a Comment