Saturday, May 22, 2010

Pasca Hari Guru 2010 - Penduduk kampung anjur Hari Guru


PENDUDUK Kampung Undang membawa bunga manggar dan pulut kuning
mengiringi guru-guru ketika 
menyambut Hari Guru di SK Undang, Kuala Terengganu, semalam. 
KUALA TERENGGANU 20 Mei - Lazimnya majlis sambutan Hari Guru dianjurkan oleh guru sendiri, namun berbeza pula dengan senario di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang dekat sini hari ini yang mempunyai cara tersendiri dalam menjayakan majlis seumpama itu.

Ini kerana, majlis sambutan di sekolah tersebut merupakan hasil kreativiti dan inisiatif penduduk kampung menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) kampung berkenaan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.

Pada majlis sederhana tetapi penuh bermakna itu, seramai 30 orang guru dan Guru Besar, Mokhtar Daud diraikan bersama-sama lebih 300 orang murid dari peringkat pra sekolah sehingga tahun enam.

Malah secara gimik, Mokhtar turut disuap pulut kuning oleh Pengerusi JKK Kampung Undang merangkap Pengerusi PIBG sekolah berkenaan, Mohamad Hamzah sambil disaksikan para jemputan termasuk guru.
Turut hadir, wakil Pengarah Pelajaran Terengganu, Russlin Mohamad dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda.

Mohamad ketika ditemui berkata, idea mengadakan sambutan itu mula tercetus sejak Januari lalu sebelum perkara itu dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat JKK dan PIBG sekolah.

Menurutnya, usaha itu bertujuan membalas budi para guru sekolah berkenaan atas pengorbanan, jasa serta sumbangan mereka selama ini yang berjaya melahirkan anak-anak Kampung Undang yang cemerlang dalam pelajaran.

Sumber  : Utusan Online


No comments:

Post a Comment