Friday, December 3, 2010

Renungan Jumaat - Muhasabah atau Introspeksi cara membentuk peribadi


Tanpa kita sedari lantaran kesibukan kita mengurus kerja dan sebagainya,kita semakin menghampiri hujung tahun semasa dan  bakal menerima kedatangan tahun baru.Sebelum melangkah ke tahun baru ambil masa sedetik untuk kita menyorot laluan yang telah tempuh untuk  bermuhasaah mencari makna diri yang tersirat dalam catatan sejarah yang tersurat.

Muhasabah adalah perkataan bahasa Arab bermaksud penilaian diri atau disebut juga sebagai introspeksi
Berdasarkan Imam al-Mawardi:
Muhasabah ialah seorang manusia menilai dirinya pada malam terhadap apa saja dilakukannya pada siang hari. Jika ia melakukan perkara yang terpuji maka ia akan meneruskannya dan jika ia melakukan perbuatan tercela, maka ia akan meninggalkannya dan tidak akan mengulanginya lagi“.
Imam Ibnu Qayyim rahimahullah pula berkata:
Muhasabah ialah seorang hamba membezakan antara apa yang dibuat, sama ada mendapat pahala atau mendapat dosa, pekerjaan yang mendapat pahala akan diteruskan, manakala yang mendatangkan dosa ditinggalkan. Kerana ia umpama musafir yang bermusafir dalam perjalanan yang tidak akan kembali lagi“.
Kepentingan muhasabah adalah suatu amalan yang sangat baik diamalkan kerana ia mempunyai faedah dan kebaikan yang akan memperkasa mukmin bertakwa.
Antara kebaikannya ialah:

o    Dengan bermuhasabah setiap individu akan sentiasa waspada terhadap segala tingkah lakunya.

Muhasabah akan membuatkan individu muslim sentiasa mempunyai ruang menginsafi diri dan bimbang akan nasib yang akan menimpanya di akhirat kelak. Manakala akibat dari meninggalkan muhasabah menyebabkan ramai yang alpa dan terus hilang rasa bimbang akan hari penghisaban yang akan dikendalikan oleh Allah, di mana kita tidak mempunyai peluang untuk menipu dan mengelak dari soalan berkenaan dengan amalan sepanjang kehidupan kita. Mereka akan terus tenggelam dan bergelumang dengan maksiat.




o    Muhasabah juga akan membuka ruang kepada setiap individu mengenali kelemahan diri sendiri serta kekurangan yang ada. 

Kerana barang siapa yang mampu mengenali kelemahan diri sendiri pasti akan dapat memupuk sifat rendah diri dan tawaduk. Ia juga akan dapat berusaha memperbaiki diri dengan menumpukan pada kelemahan yang sudah dikenal pasti pada dirinya.

o    Muhasabah diri juga akan membuka minda kita mengenali betapa besarnya nikmat dan kurniaan dari Allah kepada setiap individu.

Di samping kita akan bertemu dengan kelemahan diri kita juga pastinya akan dapat membuat perbandingan betapa besarnya kurniaan Allah Taala kepada kita seperti nikmat sihat, zuriat, harta benda, pelajaran dan sebagainya yang tidak mampu kita hitung. Ia akan menjadikan individu bermuhasabah sentiasa bersyukur dan tunduk kepada ajaran Allah.

o    Muhasabah juga dapat menyucikan diri dari sebarang sifat hati yang tercela seperti riak (suka menunjuk-nunjuk), takabbur (rasa bongkak atau besar diri), hasad (dengki) dan sebagainya.

 Muhasabah diri akan dapat menyedarkan kita betapa busuknya hati kita yang tidak pernah puas hati dengan rakan sekerja dan kawan-kawan. Sifat tercela ini kemudian digantikan dengan hati dan jiwa yang bersih dengan perasaan rendah diri, hormat kepada orang lain dan merasakan gembira dengan nikmat yang dikecapi oleh mereka.

o    Muhasabah diri akan dapat menghidupkan jiwa yang mati dan akan dapat menyuburkan rasa tanggungjawab kepada diri sendiri serta dapat membuat petimbangan yang teliti terhadap setiap gerak geri dan tingkah laku.



Kaedah muhasabah terbahagi kepada dua, iaitu

Pertama; Muhasabah sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Iaitu apabila ingin melakukan sesuatu perkara perlu dinilai terlebih dahulu sama ada wajar ia memenuhi tuntutan syariat atau tidak manakala,

Kedua; Melakukan sesuatu pekerjaan. Iaitu menilai sejauh mana pekerjaan yang dilakukan memenuhi tuntutan syarak atau sebaliknya.

Jenis Muhasabah

o    Kecuaian melakukan amal ibadat dan ketaatan kepada Allah seperti solat, puasa, haji; mengapa saya tinggalkan solat subuh sedangkan ia wajib; saya tidak mengerjakan Haji sedangkan duit sudah cukup dan sudahkah saya laksanakan tugas dakwah dengan menuruti sunnah Nabi Muhammad?

o    Muhasabah diri mengenai maksiat dan dosa yang dilakukan. Iaitu dengan mengajukan soalan berikut kepada diri sendiri, antaranya mengapa saya malas solat berjemaah; mengapa wanita yang bukan muhrim saya, sedangkan hukumnya adalah haram?

o    Hijrah adalah lambang perubahan dalam pelbagai aspek bagi kehidupan seorang muslim adalah berteraskan kepada muhasabah. Kerana dengan muhasabah kita mampu melihat sejauh mana pencapaian yang dilakukan dan apakah kekurangan yang menjadi punca kelemahan ummah.

No comments:

Post a Comment