Sunday, December 26, 2010

Hanya guru berkelayakan ajar BM

PUTRAJAYA 25 Dis. – Kementerian Pelajaran mengarahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menempatkan guru yang mempunyai kelayakan sahaja untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan ia selari dengan kehendak pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Guru yang mengajar Bahasa Malaysia untuk Tahun Satu dan Dua di SJKC dan SJKT hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh bertutur dalam dwibahasa dan perlu mempunyai kredit dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi Tahun Tiga hingga Enam, guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah mereka yang memiliki opsyen ikhtisas Pengajian Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dipetik daripada laman web rasmi Kementerian Pelajaran, di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata, bagi SJKC dan SJKT dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah dipilih di kalangan guru berpengalaman dan boleh bertutur dwibahasa serta mempunyai kredit Bahasa Malaysia dalam SPM.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya semasa pelaksanaan proses penempatan, pertukaran dan penempatan semula guru di SJKC dan SJKT.

2 comments:

  1. Masalahnya - Tidak cukup guru opsyen BM di SJK(C), Trg. Dengan itu, guru bukan opsyen BM terpaksa menjadi bidan terjun...

    ReplyDelete
  2. masih keliru...
    saya mengajar di SJKC (SKM)
    Bukan opsyen dan baru 2 thn mengajar BM. Ditugaskan mengajar BM sebab saya ni guru berbangsa Melayu. Tiada guru opsyen BM di sekolah.
    adakah saya tak layak mengajar BM tahun depan?

    ReplyDelete