Lebihkuarang sepuluh hari lagi kita akan menyambut tahun baru 2011. Seringkali dan seakan sudah menjadi formaliti “tahun baru” sentiasa diiringi dengan “azam baru” atau “niat baru”. Logiknya “azam baru” atau “niat baru” ialah melakukan tugas-tugas pengurusan persekolahan agar lebih baik dari tahun yang telah berlalu.
Tidak ada saya kira seorangpun pengurus sekolah yang sihat akalnya mahu melihat organisasinya mundur ke belakang atau huru-hara. Semuanya pasti mahu lebih baik dari yang sudah-sudah. Niat sebeginipun pastinya sudah beroleh kebajikan dan InsyaAllah akan dipermudahkan Allah untuk mencapaiannya.
Mendepani tahun baru pastinya kita juga sangat wajar menoleh jejak semalam yang kita tinggalkan untuk melihat kekuatan dan kelemahan dalam kerjabuat pengurusan kita. Muhasabah atau introspeksi adalah suatu kewajipan untuk membina kekuatan diri supaya kita matang dan bijaksana melalui cabaran dalam mengurus tugas kita.
Kata Zig Ziglar ,”No matter how busy you’re in a day you should find at least 10 minutes of your time in solitude to make self evaluation and forward planning”
Kita barangkali tidak mahu mengulangi tragedi yang sama dalam pengurusan kita pada tahun baru kerana kita harus sedar mengulangi kesilapan yang sama dan mengulangi stail yang sama dengan membawa musibah yang sama kita tidak boleh diklasifikasi dalam golongan “pengurus sekolah yang cerdik”. Jika kita ada maruah dan harga diri barangkali kita tidak akan rela menerima aib sedemikian oleh perbuatan kita sendiri.
Kejayaan kita,pengurus sekolah rendah pada tahun ini mengekalkan pencapaian terbaik semua A,UPSR Negara selama sepuluh tahun berturut-turut ,99% sekolah rendah kita bebas audit berteguran dan pelbagai kejayaan yang menunjukkan keupayaan dan kemampuan kita seharusnya menjadi inspirasi untuk kita lakukan yang lebih baik pada tahun ini.Kita percaya di bawah kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri yang baru dengan slogan “Melestarikan Pendidikan Terbilang” serta peranan aktif Majlis Guru Besar Malaysia Cawangan Terengganu,para pengurus sekolah rendah akan lebih jelas halatuju dan mampu melakukan lonjakan besar dalam semua aspek pengurusan persekolahan.
Pastinya permulaan kepada terzahirnya kejayaan itu tidak lain adalah melalui perancangan yang jelas dan terancang. Kita amat berharap tidak ada lagi pengurusan sekolah atau guru sekolah yang tidak tahu membezakan program,projek dan aktiviti dalam perancangan strategik sekolah. Ketidakhazaman dan ketidakjelasan inilah antara punca hasil yang diperolehi tidak sepadan dengan masa,tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan. Alangkah ruginya kerana kita telah melakukan “pembaziran” masa,tenaga,wang ringgit dan juga potensi serta sumber kejayaan yang ada.
Setiap pengurusan sekolah rendah harus secara sedar dan bersengaja bahawa dalam usaha kita “Melestarikan Pendidikan Terbilang” peranan “Pemimpin Sekolah Terbilang” adalah amat besar.Pendidikan Terbilang tidak lahir tanpa Pemimpin Sekolah Yang Terbilang. Justeru itu setiap pengurus sekolah rendah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu,sikap dan pemikiran untuk menjelmakan diri mereka sebagai pemimpin terbilang di peringkat sekolah.Hanya Pemimpin Terbilang mampu melahirkan Murid Terbilang dan Sekolah Terbilang
“… saya tidak pernah melihat sekolah yang baik dipimpin oleh Guru Besar yang lemah, atau sekolah yang lemah dipimpin oleh Guru Besar yang baik. Saya telah melihat sekolah-sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah-sekolah berjaya,Dan malangnya, sekolah-sekolah terkemuka merosot dengan cepat. Bagi setiap kes jatuh bangunnya sekolah dengan mudah boleh dikaitkan dengan Kualiti Guru Besar.” Fred M. Hetchinger ,President New York Times
Kita juga di Unit Pengurusan Sekolah Rendah amat berharap Pengurus Sekolah yang baru dilantik cepat belajar. Kata mantan Pengarah Pelajaran lalu selepas 14 hari dilantik seseorang pegawai sudah dianggap lama berkhidmat. Mereka mesti mempunyai inisiatif untuk belajar daripada rakan-rakan pengurusan senior yang hebat,banyak membaca dan jabatan akan melaksanakan kursus kepada mereka. Kita juga berharap Majlis Guru Besar Daerah dan Negeri akan sentiasa membantu dan memantau perkembangan Guru Besar baru atau GPK baru. Setelah diberi peluang dan kemahiran pengurusan jabatan tidak akan kompromi dengan mana-mana pengurusan sekolah yang “sengaja melakukan salahlaku ” demi menjaga integririti dan nama baik pengurus sekolah keseluruhannya.
Kita sangat yakin pasukan pengurusan sekolah rendah negeri Terengganu akan dapat mempertahankan rekod cemerlang dan dalam masa yang sama terus mempertingkatkan kualiti diri dan kecekapan dalam pengurusan sekolah masing-masing. Jabatan Pelajaran Negeri akan sentiasa membantu dan melalui saluran terbuka dan telus warga pendidikan boleh menyampaikan maklumat secara cepat kepada kita untuk membantu dan menyelesaikan isu-isu yang boleh membantutkan kemajuan pengurusan sekolah.
Ingatlah dibahu kita ada harapan dan amanah kerajaan serta amanah rakyat kepada kita yang wajib kita laksanakan dengan penuh keinsafan dan kesedaran.
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah, ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, KECUALI sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya”. Maksud Hadis.
Marilah sama-sama kita realitikan slogan “Melestarikan Pendidikan Terbilang” melalui “Kepimpinan Sekolah Terbilang”.
No comments:
Post a Comment