Cuti sekolah semakin menghampiri penutupnya. Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan bahawa kejayaan adalah milik semua pelajar sama ada di bandar mahupun luar bandar. Masyarakat kini telah dapat menyaksikan bahawa pelajar luar bandar juga mempunyai kebolehan untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Sebelum ini, mungkin masyarakat melihat pencapaian pelajar luar bandar agak tercicir berbanding dengan pelajar yang tinggal di bandar-bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan pembelajaran. Buat pelajar luar bandar, kini tiada alasan bagi mereka untuk malas belajar kerana di luar bandar pada masa ini sudah ada pelbagai kemudahan.
Kita lihat sahaja pembangunan yang berlaku di luar bandar. Segala kemudahan yang ada di bandar kini sudah dapat dimiliki oleh pelajar luar bandar seperti makmal komputer, internet, kedai buku yang besar, perpustakaan bergerak, pusat tuisyen, dan lebih penting apa yang dipelajari pelajar di bandar adalah sama dengan apa yang dipelajari pelajar di luar bandar. Mereka mempelajari kurikulum yang sama.
Kalau kita lihat sejarah pembangunan negara di awal pasca merdeka, segala kemudahan tersebut tidak ada di kawasan luar bandar. Rasanya sudah sampai masanya untuk para pelajar luar bandar muhasabah diri terhadap apa yang telah dilakukan setakat ini. Adakah mereka sudah berpuas hati dengan apa yang didapati dan diperoleh atau mereka perlu berhijrah minda untuk menjadi lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini?
Generasi muda yang menjadi harapan kita sudah tentulah golongan pelajar sekolah dan mahasiswa tempatan. Pada bahu merekalah terletaknya harapan negara dan apa yang lebih penting pada masa kini adalah memastikan kelestarian perjalanan dan pelaksanaan konsep 1Malaysia. Pelajar luar bandar pada hari ini tidak boleh terus leka dengan dunia teknologi maklumat (IT) yang serba maju. Mereka sebenarnya perlu pandai memilih mana yang baik dan mana yang buruk untuk diri mereka.
Melihat apa yang berlaku kepada remaja hari ini iaitu banyak gejala negatif dilakukan remaja Malaysia, rasanya sudah sampai masa untuk mereka menghijrahkan diri dan minda mereka. Untuk menjadi bangsa yang maju, kita perlu perubahan minda. Maksudnya kita tidak boleh berfikiran kolot dan berada di takuk lama kerana zaman sentiasa berubah dan pemikiran kita juga perlu berubah.
Remaja kini perlu mengubah minda agar tidak ketinggalan zaman. Dalam hal ini pelajar tidak boleh lagi bersikap menjadi pak turut, tidak berfikir dan sentiasa berpuas hati dengan apa yang ada. Kita seharusnya bersikap suka mencari ilmu yang baru, melakukan sesuatu yang orang lain belum buat, kreatif, serta mencari idea-idea dan teknologi baru. Pelajar masa kini juga perlu berani keluar dari kepompong dan berani mencari tempat untuk bersama-sama dengan bangsa dan negara lain khususnya dalam usaha menyelidik ilmu-ilmu baru.
Pelajar luar bandar hari ini perlu menjadi remaja Malaysia yang suka membaca. Dalam hal ini, mereka perlu memastikan mereka memahami dan mengetahui apa yang dibaca. Ini penting kerana kebanyakan generasi pelajar masa kini sudah banyak membaca bahan-bahan bacaan yang pelbagai dan dalam bahasa yang berbagai tetapi sejauhmanakah mereka memahami apa yang mereka telah baca dan pelajari.
Dalam hal ini, pemahaman kita terhadap sesuatu dengan lebih mendalam sangat penting kerana ia memberikan kita keyakinan diri apabila berdepan dengan persoalan atau permasalahan. Kita ambil ini sebagai contoh, semua pelajar sekolah menengah belajar subjek Sejarah. Bolehlah kita katakan semua pelajar di Malaysia tahu tentang Sejarah penjajahan komunis di Tanah Melayu. Tetapi berapa ramai pelajar kita memahami apa itu komunis? Pelajar juga didedahkan dengan sejarah darurat di negara ini, tetapi apabila ditanyakan apa itu darurat, berapa ramai pelajar kita boleh menerangkan erti darurat secara mendalam.
Selain itu, berapa ramai remaja hari ini memahami erti kemerdekaan? Sudah cukupkah dengan hanya mengibarkan Jalur Gemilang? Tidak ramai yang tahu di sebalik rahsia ilmu sejarah. Sebagai manusia, kita hidup dengan sejarah tidak kira negara, agama, masyarakat dan diri kita sendiri bermula dari sejarah. Sejarah sebenarnya mempunyai peranan lebih daripada memberikan pengajaran. Salah satu peranan dan sumbangan ilmu sejarah kepada kita adalah ia membolehkan kita meramalkan apa yang akan berlaku.
Tidak ada manusia di dunia ini yang tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Tetapi dengan belajar sejarah, generasi hari ini boleh meramalkan dan boleh mengagak apakah yang akan berlaku kepada negara dan masyarakat pada masa hadapan berdasarkan apa yang telah berlaku dalam sejarah. Justeru itu, pelajar luar bandar kini tidak boleh memandang ringan subjek sejarah kerana ia mempunyai impak yang besar kepada negara dan masyarakat.
Apa yang diharapkan pelajar luar bandar perlu didedahkan dengan pelbagai ilmu seperti ilmu sains, teknologi dan juga ilmu sejarah bagi memantapkan lagi diri mereka untuk bersaing di peringkat yang lebih global. Pelajar luar bandar hari ini sepatutnya sejak awal-awal lagi perlu membentuk visi atau wawasan apa yang ingin dicapai dalam hidupnya pada masa akan datang. Wawasan diletakkan sebagai perkara paling penting untuk menjadi cemerlang memandangkan tanpa wawasan, seseorang itu tidak tahu di mana arah dia hendak pergi.
Justeru itu, sebelum melakukan sesuatu, tanamkan apakah wawasan anda dalam apa juga tindakan yang dilakukan. Dalam dunia pendidikan khususnya mahasiswa, berjaya dalam pelajaran sepatutnya menjadi keutamaan. Matlamat ini perlu jelas memandangkan anda akan berfikir apa aku nak jadi pada masa depan, bagaimana hendak mengubah nasib keluarga, dan bagaimana aku ingin menjadi orang terkenal pada masa depan.
Persoalan-persoalan ini akan bermain di fikiran kita setelah kita tanamkan wawasan dalam diri kita. Keadaan ini secara tidak langsung akan memberi semangat untuk kita berusaha mencapai cita-cita tersebut.
Di antara ciri-ciri orang cemerlang ialah berfikiran di luar kepompong tradisi dan sentiasa menerima perubahan dengan positif. Ia disebabkan oleh pembacaan mereka yang banyak dan tidak terhad kepada subjek atau topik yang diajar di dalam kelas.
Untuk menjadi remaja dan pelajar cemerlang, pelajar luar bandar perlu mula membaca dan membuat rujukan tambahan pada hari ini juga. Tidak semestinya pelajar sains membaca bahan-bahan dan maklumat berkaitan sains sahaja dan menganggap maklumat berkaitan teknologi, sains sosial, agama, kemasyarakatan dan sebagainya tidak berkaitan.
Harus diketahui bahawa setiap ilmu yang diperturunkan oleh Allah itu ada kaitan di antara satu sama lain dan tidak ada ilmu yang tidak ada kegunaannya. Selain itu, pelajar luar bandar pada hari ini juga perlu sentiasa berilmu, mencari ilmu dan menghayati konsep ilmu dengan sempurna. Dalam hal ini, kita mesti berlumba mencari ilmu ke tahap yang paling cemerlang dan terbaik yang pernah kita lakukan. Kita juga perlu sedar bahawa ilmu adalah pedoman hidup. Tanpa ilmu kita tidak akan ke mana-mana bak perahu yang tidak ada kemudinya. Kita juga perlu sedar bahawa ilmu itu tidak ada sempadan, tepi, tengah dan belakang.
Konsep ilmu itu amat luas. Justeru itu, kita perlu sentiasa mencari ilmu pengetahuan tanpa henti atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil sebagai longlife learning. Sikap ini perlu kita tanamkan dalam diri kita jika kita ingin memartabatkan kedudukan kita sebagai masyarakat yang berilmu. Matlamat orang berilmu tidak mati selesai sahaja mereka bergraduat, berkerjaya dan berumahtangga. Usaha menjejaki ilmu ini perlu dilakukan bukan setakat sejauhmana yang kita boleh pergi, tetapi apa yang perlu kita tanya pada diri kita iaitu apakah kita sudah puas hati dengan ilmu yang kita ada.
Sebagaimana yang diketahui, ilmu itu sangat luas dan tak terhingga banyaknya. Jadi, bagaimanakah seseorang yang sudah cukup tinggi ilmunya boleh mengatakan bahawa dia sudah mempunyai ilmu yang banyak. Sikap ini perlu dikikis dari diri setiap remaja atau pelajar kerana selagi kita hidup selagi itulah kita perlu sentiasa mencari ilmu. Apa yang berlaku dalam kalangan pelajar pada masa kini sama ada di bandar atau luar bandar adalah mereka suka mengehadkan bacaan mereka kepada apa yang mereka belajar sahaja iaitu membaca bahan-bahan bacaan dalam bidang mereka sahaja, luar dari bidang mereka dianggap tidak sesuai atau bukan bidang mereka. Sedangkan, membaca apa saja buku akan meluaskan minda kita dan ini secara tidak langsung akan membantu kerajaan membentuk generasi yang berfikiran kelas pertama.
Harus diingat bahawa kita juga perlu menjadikan agama sebagai asas dalam pergaulan kita seharian. Jika para remaja menjadikan agama sebagai dasarnya maka mereka akan dapat membina hubungan dan pergaulan yang baik dan berkekalan sehingga ke akhirnya. Menjadikan agama sebagai dasar dalam pergaulan para remaja akan dapat mengelakkan berlakunya salah faham, perasaan dengki dan syak wasangka, iri hati dan sebagainya. Hasilnya, hubungan dan pergaulan kita akan membentuk rasa sayang menyayangi, kekitaan, kesatuan dan apa yang lebih penting ia mengelakkan kita daripada melakukan sesuatu di luar batasan keagamaan.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment