MUHYIDDIN melancarkan buku Zaman Awal Remajaku sambil
diperhatikan Dr Zulkurnain (kiri) di Putrajaya, malam tadi.
PUTRAJAYA: Program Pembangunan Sekolah daripada sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan yang dilaksanakan sejak pertengahan tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 40 peratus, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, program yang membabitkan ratusan sekolah yang sebelum ini berada pada tahap enam dan tujuh iaitu kategori lemah, berjaya melepasi tahap berkenaan.
“Keputusan ini menunjukkan pendekatan yang digunakan untuk meningkatkan pencapaian pelajar melalui program latihan untuk memantau sekolah dalam tahap enam dan tujuh, nampaknya sudah memberikan hasil yang amat menggalakkan.
“Oleh itu, saya sudah mengeluarkan arahan tadi (semalam), kalau kita terpaksa atau memerlukan perbelanjaan lebih sedikit tetapi dengan sumbangan itu boleh meningkatkan prestasi ratusan malahan ribuan sekolah yang ada di negara kita, untuk terkeluar daripada tahap rendah dan sederhana ini, kita akan lakukan,” katanya pada majlis makan malam Jasamu Dikenang sempena persaraan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom serta pelancaran buku Zaman Awal Remajaku, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan gandingan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bekas dua pemimpin tertinggi kementerian itu berjaya memartabatkan profesion keguruan di negara ini, sekali gus merealisasikan peranan kementerian untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia.
Beliau berkata, walaupun kedua-duanya berjuang atas laluan kerjaya dan tugas yang berbeza, namun mereka berjaya menerajui kementerian untuk melalui beberapa fasa kritikal seperti kajian semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 hingga 2010, pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan perancangan serta pelaksanaan NKRA bagi pendidikan.
"Tan Sri Zulkurnain adalah seorang pemimpin yang tegas dan sentiasa mempunyai idea-idea bernas, manakala Tan Sri Alimuddin pula seorang ketua berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan berjiwa guru.
"Tanpa nasihat, bimbingan dan pemantauan secara menyeluruh daripada mereka, saya percaya agak sukar bagi kementerian menjayakan dasar serta program yang sudah dirancang," katanya.
Zulkurnain yang kini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bersara pada 27 Oktober lalu dan tempatnya diambilalih Datuk Dr Rosli Mohamed.
Manakala Alimuddin yang bersara berkuat kuasa 6 November lalu kini bertugas sebagai Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan jawatannya kini diambilalih oleh Datuk Abd Ghafar Mahmud.
Sehubungan itu, Muhyiddin berharap Zulkurnain dan Alimuddin akan menggunakan segala kepakaran serta pengalaman mereka untuk terus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara menerusi SPP dan YGMB.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment