Saturday, November 3, 2012

Sembang Sabtu : Budaya exusitis dalam organisasi

Sudah dua siri Sembang Sabtu kita cuba menyelongkar "penyakit" aka "halangan" organisasi untuk maju dan dinamik khususnya yang ada di sekolah. Hari ini kita akan mengupas satu lagi budaya yang menjadi anai-anai yang akan meruntuhkan organisasi iaitu "budaya exusitis".

Budaya 'exusitis' aka alasan adalah berasal dari perkataan "excuse". Budaya ini sudah berkurun berakar umbi dalam mana-mana organisasi secara sedar atau tidak sedar justru kebijaksanaan pengamalnya mengayam sejuta satu macam sebab dan alasan maka kita seakan akur menerima sebagai sebahagian cara hidup berorganisasi. Inilah bahananya satu pemikiran menerima yang salah sebagai benar, membiasakan yang silap sebagai rutin amalan dan memberi tanggapan baru perkara sedemikian adalah normal.

Tidak sukar mengenal sifat dan watak exusitis ini. Mereka agak bijak dan mahir dalam kemunikasi  dan  mempengaruhi dengan penuh  simpatik. Seringkali memberi alasan di saat-saat akhir untuk tidak hadir atau terlibat dengan sesuatu aktiviti atau perkara walaupun di peringkat awal dialah nampak paling bersemangat. Setiasana mengelak untuk menerima tugas dan tanggungjawab. Nampak bodoh dan jahil walaupun hakikat sebenar seorang yang bijak dan berkemahiran. Selalu mengingkari janji dengan seribu satu macam alasan. Seringkali mengenakan kawan seperti belanja makan dengan alasan duit tertinggal dan sebagainya.Mereka bukan jenis yang simpatik apalagi empatik. Ego dan mementingkan diri sendiri. Mereka tidak nampak susah hati walaupun kerja  tidak siap dan sempurna tetapi memberi sejuta alasan yang menunjukkan pihak lain sebagai penyebab bukan sikap dan kelemahan diri sendiri. Mereka berusaha untuk menarik diri dan menyembunyikan kebolehan dan kemampuan yang mereka. Mereka adalah aset yang membazir dan tidak dapat dimanafaatkan.

Pihak pengurusan sekolah perlu bijak mengesan "permainan wayang" golongan exusitis kecualilah mereka juga pengidap sindrom sama maka akan sempurnalah di mata mereka dan bermaharajalelalah. Mereka lupa di sebalik dinding ada segerombolan anai-anai yang sedang mengunyah untuk meranapkan. Pada kita berurusan dengan "pesakit" exusitis mesti tegas dan dibuat secara hitam putih berdokumen. Selain itu tindaksusul terhadap tugas dan tanggungjawab diberi wajib dilaksanakan. Kata dan kotakan., Contoh jika mereka tidak hadir aktiviti kokurikulum kerana anak demam maka buat rombongan pergi melawat keluarganya. Kalau nak lantik dia jadi jurulatih pastikan ada dokumen hitam-putih seperti sijil, surat menunjukkan dia ada pengalaman dan kemahiran kerana jika tidak mereka tidak buat dan memberi beribu alasan. Manusia kronik exusiti akan memberi beribu alasan bohong dan sama berulangkali.

Biasalah alasan ayah meninggal atau emak meninggal walaupun dah meninggal berbelas tahun. Ataupun anak sakit atau isteri sakit atau suami sakit walaupun mereka sihat walafiat. Kita harap sampai 40 kali alasan seperti itu Allah makhbulkan. Sesungguhnya Allah beri nikmat atas kebaikan kita dengan seribu satu macam dan Allah juga mampu hukum tunai atas dunia di atas dosa dan kesilapan yang kita buat dalam sekelip mata.

Kita menyeru kepada pihak pengurusan sekolah dan warga sekolah yang bagus, sihat sejahtera agar bersama-sama bangun sederap menangani isu exusitis dengan ketegasan dan kebijaksanaan demi kejayaan anak-anak didik dan maruah organisasi kita. Barangkali sudah lama kita menjadi mangsa akibat kelemahan, kelembutan dan kebelaskasihan melampau yang tidak bertepi. Kini agaknya sudah tiba kita menjadi pemangsa penuh keberanian dan integriti menakluki fenomena ini....


2 comments:

  1. Salam.

    Bagi saya budaya 'exusitis’ adalah penyakit atau wabak yang telah lama berakar umbi, yang pastinya orang yang dihinggapi penyakit ini telah diserapi ‘Kuman Malas’. Orang yang diserang kuman ini pula akan menyebabkan mereka aktif berfikir mencari alasan. Justeru itu timbullah pelbagai alasan bagi orang yang terkena kuman ini bagi menutupi tanggungjawap yang perlu dilaksanakan. Kadang-kadang sesuatu tugasan yang boleh dilaksanakan dalam masa sehari saja tapi ia melangkaui berminggu-minggu sehingga terpaksa orang lain pula perlu menggingatkannya.

    Apa yang pasti mereka yang berpenyakit ini akan menjadi tidak proaktif, bersikap dan berfikir negatif dek penangan kuman ini. Satu kelebihan orang yang terkena penyakit ini, mereka aktif mencari alasan tanpa mengira logik atau tidak. Kadang-kadang alasan yang diberi disertakan dengan gaya atau gerak tubuh serta mimik muka bagi menyakinkan orang lain. Sebagai contoh; Apabila sesuatu tugasan terdapat tarikh akhir, mereka ini suka membuatnya disaat-saat akhir sedangkan banyak masa sebelum ini terbuang begitu saja. Apabila ditanya mengapa sesuatu tugasan tidak disiapkan lagi, mereka akan mengatakan “tak apalah, tarikh tutup lambat lagi” atau memberi pelbagai sebab-sebab lain.

    Saya juga melihat penyakit ini telah berakar umbi bermula dari alam kanak-kanak lagi. Seterusnya penyakit ini dibawa ke alam remaja iaitu alam persekolahan/institusi/universiti. Kita akan berjumpa dengan orang-orang yang suka membuat kerja “last minute” dan sudah pasti hasilnya kurang memuaskan! Mereka ini yang akan memasuki alam pekerjaan pula membawa penyakit ini dan disebar serta tanpa sedar mempengaruhi orang lain dengan kemahiran mereka bercakap dan pandai pula cipta pelbagai alasan bagi menyakinkan orang sekeliling mereka.

    Agak sukar untuk mengubati penyakit ini jika seseorang itu tiada imuniti (iman) yang kuat dalam diri mereka. Sebab itu bagi saya, kita bekerja bukan kerana majikan kita Guru Besar, bukan majikan kita PPD/JPN atau KPM tapi ‘majikan’ kita adalah ALLAH. Insyaallah jika majikan kita adalah ALLAH, kita akan sentiasa muhasabah diri tentang kerja buat kita sepertimana yang kita sentiasa ikrarkan – SOLATKU, IBADATKU, HIDUPKU DAN MATIKU ADALAH UNTUK ALLAH TUHAN SEKELIAN ALAM.

    Dalam blog saya, saya pernah membicarakan tentang tajuk; Kita Terlalu Banyak Alasan. Sila lihat link ini - http://cgazmi.blogspot.com/2012/07/kita-terlalu-banyak-alasan.html. Mudah-mudahan kita mendapat iktibar darinya.

    Mohon maaf andai dalam bicara saya terdapat salah dan silap. Saya garapkan di sini berdasar pengalaman persekitaran saya sebagai perkongsian bicara. Wassalam.

    ReplyDelete