SEJAK akhir-akhir ini, sesetengah kita ghairah
mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan kesannya terhadap individu dan
sensitiviti orang lain. Dalam diri mereka, ada sikap mencari kesilapan orang
yang tidak sependapat, malah ditabur fitnah dan penuh dengan buruk sangka.
Islam sentiasa menyuruh agar sentiasa bersangka
baik sesama insan, baik kepada Muslim dan bukan Muslim sehingga ada keterangan
dan bukti yang boleh kita mengambil langkah berjaga-jaga.
Ayat Allah banyak mengingatkan kita bersangka baik
kerana boleh menjamin kesejahteraan dan keamanan sejagat. Allah berfirman
bermaksud:
“Wahai orang-orang
yang beriman! Jauhilah kamu daripada sangkaan (iaitu sangkaan membawa
kerosakan) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…” (Surah
al-Hujurat: 12)
Ayat Allah itu membawa suatu petunjuk kepada kita
bahawa orang beriman sentiasa bersangka baik kepada insan, terutama sesama
Muslim.
Ramai di antara kita hari ini gemar menilai
perilaku individu lain. Lebih menyedihkan apabila kebaikan orang lain
ditafsirkan mempunyai agenda dan matlamat tersendiri.
Ini jelas menyalahi apa dinasihatkan Rasulullah
s.a.w:
“Aku tidak disuruh
untuk menyelidiki setiap gerak hati manusia (membaca niat di hati manusia lain)
dan perut mereka” (Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742)
Bagaimana kita berinteraksi dengan ayat Allah dalam
surah al-Hujjurat dan juga hadis muttafaqun alaih (al-Bukhari dan Muslim) dalam
konteks kehidupan harian kita hari ini? Jika kita meneliti dan mengamati firman
Allah dan sabda Rasul itu, sudah pasti kita punyai tanggungjawab besar dalam
menjaga diri, terutama dalam menilai dan menghukum orang lain. Ini dapat
dilihat antara ahli politik dengan lawan yang tidak sebumbung.
Setiap kebaikan langsung tidak didahului ucapan
terima kasih dan syukur, namun lidah cepat mengambil peluang menghunus parti
lawan dan menyebarkan kepada orang lain agar tidak terpedaya dengan kebaikan.
Ditambah lagi mereka mengambil urusan Allah dengan mempertikaikan kebaikan dan
pemberian itu hanyalah sebagai gimik, strategi mengaburi masyarakat.
Sebagai umat Islam, adab terbaik dan akhlak yang
dianjurkan adalah dengan sentiasa berterima kasih dan bersyukur. Menjadi
prinsip kita sebagai umat Islam agar bila diberi kita bersyukur, bila diuji
kita bersabar.Akhlak buruk sangka ini haruslah dijauhi, terutama sekali dalam
urusan politik. Tidak kira daripada mana parti, perbuatan yang baik hendaklah
diadili dan dinilai dengan sangkaan baik.
Di antara pakar agama juga kadangkala budaya
sangkaan buruk ini juga terjadi. Lebih buruk lagi jika yang berada dalam iklim
dan pentas politik. Semestinya setiap gerakan, perkataan dan tulisan akan
dikaitkan dengan politik. Lalu muncullah kumpulan yang mampu ‘membaca’ hati
manusia lain. Lagak mereka seperti ahli sufi yang seolah-olah bijak mentafsir
dan menterjemahkan bicara dakwah orang lain.
Dituduh mereka ulama keji, ustaz yang dibeli dengan
memfitnah bahawa mereka disogokkan sejumlah wang ringgit dan diakhiri dengan
membangkitkan rasa benci pada pakar agama yang tidak sependapat dengan mereka.
Mengapa tiada sangkaan baik atas usaha dakwah
dijalankan? Apa yang melucukan, apabila bahan disampaikan pakar agama kebetulan
sama dengan pendapat parti mereka lalu pakar agama itu akan dijulang, mendapat
puji-pujian, namun jika berlaku sebaliknya, pakar agama itu akan dihempuk tanpa
belas kasihan. Peringatan ini Allah abadikan dalam ayatnya bermaksud:
“Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Al-Maidah : 8 )
Akibat buruk sangka tadi dan juga lidah tidak terurus,
maka akan timbullah perpecahan dan permusuhan di antara umat Islam. Lebih buruk
lagi, jika ia dipelopori di kalangan ahli politik dan pakar agama. Mereka
membawa bicara dan berita untuk ditebarkan pada masyarakat lalu masyarakat
menerima tanpa menilai fakta tersebut.
Catatan : Terima kasih kepada Saudara Mohd Shafiq Chandran, Guru Besar, SK Guntung, Setiu atas kiriman rencana yang diambil dari sini untuk renungan kita bersama. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment